ISKANDAR PUTERI: Forest City bakal menerima pelaburan berjumlah RM4.73 bilion menerusi pembinaan projek Bandar Budaya Korea pertama di Malaysia dengan sasaran 10 juta pelancong setahun.
Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV), Datuk Md. Othman Yusof berkata, pelaburan itu akan dibawa masuk oleh firma pelaburan terkemuka Korea Selatan, GG56 Korea Limited (GG56).
Menurutnya, pembangunan tersebut termasuk studio produksi hiburan Korea, kawasan kebudayaan antarabangsa serta pembangunan kediaman bertaraf dunia.
“Projek ini bakal menyaksikan ‘Bandar Budaya Korea’ pertama dibangunkan dalam negara. Selain mewujudkan impak ekonomi positif bagi pasaran tempatan, ia juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Kita yakin projek jangka masa panjang ini bakal menarik kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa, kerana budaya Korea mempunyai tarikan global tersendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CGPV dan GG56 di Forest City, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Dr. Daing A. Malek Daing A. Rahaman; Ketua Pegawai Eksekutif GG56, Kim Young Kun dan Pengarah GG56, Lee Dong Hyun.
Dalam pada itu, Md. Othman yakin Forest City bakal menerima kemasukan pelaburan asing baharu selepas pengumuman tentang Zon Kewangan Khas (SFZ).
“Sejak pengumuman itu dibuat, kita telah mendapat banyak pertanyaan tentang Forest City, ini menunjukkan pertambahan minat bagi kawasan hartanah ini,” jelasnya.
Sementara itu, Young Kun memberitahu, pihaknya menyasarkan kehadiran sehingga 10 juta pengunjung setahun ke Bandar Budaya Korea.
“Kita mempunyai cita-cita besar untuk projek kerjasama ini, selain itu kita juga mempunyai perancangan masa depan lain di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN