EON unjur TIV EV meningkat hingga 2% tahun ini - Utusan Malaysia

EON unjur TIV EV meningkat hingga 2% tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) mengunjurkan jumlah volum industri (TIV) bagi kenderaan elektrik (EV) tahun ini meningkat kepada 1.7 sehingga 2.0 peratus berbanding 1.0 peratus, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akkbar Danial berkata, pertumbuhan ini akan dipacu oleh pengenalan model-model baharu dalam pasaran termasuk model tempatan iaitu Proton e.Mas yang sedikit sebanyak akan menambah permintaan terhadap EV.

Katanya, pertumbuhan dalam EV berbanding tahun lalu telah dilihat apabila mencapai TIV sehingga 1.5 peratus sehingga Jun tahun ini.

“Bagi 2025 pula, jangkaan dalam EON berdasarkan pemerhatian dalam industri adalah TIV boleh meningkat antara dua hingga tiga peratus. Pengenalan model-model baharu yang menarik pada harga yang berpatutan akan menarik minat kepada EV.

“Tambahan pula, pengecualian cukai import dan eksais sepenuhnya bagi unit siap dibina (CBU) EV yang tamat tahun depan, sedikit sebanyak akan melonjakkan permintaan EV hingga akhir tahun depan,” katanya pada sesi Coffee Klatch sempena EON & Sahabat Media Getaway 2024 di Genting Highlands di sini, kelmarin.

Akkbar berkata, permintaan kepada EV juga bergantung kepada penerimaan daripada pelanggan sendiri sama ada mereka selesa untuk tukar kepada EV serta faktor yang boleh mendorong kepada itu termasuk ekosistem EV di Malaysia.

“Saya sendiri yang menggunakan EV suka dengan pemanduan EV tetapi banyak faktor-faktor yang perlu dilihat dari segi ekosistem EV dalam Malaysia.

“Antaranya adalah stesen pengecas yang memerlukan bergantung kepada perjalanan seseorang itu sama ada jauh atau sekadar menggunakan kenderaan itu di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Lagipun, saya biasanya akan mengecas kereta di rumah sahaja.

“Kedua adalah dari segi harga. Banyak pengguna di Malaysia membeli kereta menggunakan pinjaman. Saya rasa dengan model baharu pada harga yang berpatutan, ditambah pula dengan pengecualian cukai akan melonjakkan permintaan hingga akhir tahun depan,” ujarnya.

Ketika ditanya penguasaan pasaran EV yang diedarkan oleh anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) itu, beliau berkata, jumlahnya masih kecil.

“Sebagai pengedar kami mewakili dua jenama EV buat masa ini iaitu smart dan Audi e-tron yang pastinya jumlah masih kecil.

“Dengan adanya Proton e.Mas, kami berharap dapat meningkatkan lagi jumlah ini,” jelasnya.

Tambah beliau, EON menjual sebanyak 16,000 unit kenderaan bagi keseluruhan kumpulan pada tahun lalu dan menjangkakan mencapai jumlah yang sama atau meningkat lebih sedikit pada tahun ini.

Baru-baru ini, Maybank Investment Bank Bhd. melaporkan Malaysia mencatatkan pendaftaran kereta EV meningkat sebanyak 142 peratus tahun ke tahun kepada 10,663 kereta elektrik sepenuhnya pada separuh pertama 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya