PETALING JAYA: EON Berhad menaja trak Mitsubishi Triton VGT 2.4AT yang akan digunakan untuk meningkatkan program jangkauan pendidikan Zoo Negara.
Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaharunya yang menggalakkan pendidikan dan pemuliharaan hidupan liar menerusi program ‘’Drive for Conservation: Rakan Wild Wheel Zoo Negara’
Kenderaan ini akan memudahkan pengangkutan bahan pendidikan, prop dan juga haiwan kecil ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia untuk menyampaikan pengalaman pendidikan yang berkesan kepada para pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, EON menganggap syarikat sebagai sebahagian daripada masyarakat dan misinya adalah untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta alam sekitar yang diami.
“Dengan menaja Triton ini, kami bukan sahaja menyediakan kenderaan untuk Zoo Negara, tetapi turut menggalakkan pemuliharaan hidupan liar dengan membantu zoo menjangkau dan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar.
“Ini untuk memupuk penghargaan yang lebih tinggi terhadap khazanah alam semula jadi kita.” katanya.
Akkbar menyerahkan kenderaan tersebut kepada Presiden Zoo Negara, Datuk Sr. Zaharin Md Arif pada majlis penyerahan di Zoo Negara di Ampang, Selangor di sini hari ini.
EON turut mempamerkan komitmen syarikat semasa majlis tersebut melalui penyertaan 30 orang sukarelawan dedikasi yang sebelum ini telah menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk mengecat kawasan-kawasan tertentu di zoo tersebut.
“Menyokong pendidikan dan pemuliharaan ‘Drive for Conservation: Rakan Wild Wheel Zoo Negara’ adalah lebih daripada sekadar inisiatif CSR.
“Ia adalah komitmen untuk memacu perubahan dan memastikan generasi akan datang dimaklumkan tentang pemuliharaan hidupan liar.
“Dengan menyokong Program Pendidikan Zoo Negara melalui penajaan kenderaan baharu, EON akan membantu memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar tentang pemuliharaan hidupan liar, ekosistem dan kepentingan memelihara khazanah alam semula jadi Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN