BENTONG: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) menumpukan penambahbaikan dalam rangkaian runcit dan aset digital bagi meningkatkan produktiviti operasi dan pengalaman pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, antara usaha yang dibuat termasuk memberi penekanan pada perkhidmatan selepas jualan dan penambahbaikan perkhidmatan pelanggan.
Katanya, penumpuan selepas jualan itu termasuk kecekapan dari segi juruteknik, penggunaan dan juga waktu menunggu pelanggan.
“Melalui transformasi ini, kami telah berjaya mencapai beberapa perkara termasuk meningkatkan kecekapan juruteknik kepada 30 peratus, produktiviti juruteknik sebanyak 25 peratus dan meningkatkan pendapatan sebanyak enam peratus.
“Transformasi penambahbaikkan ini dimulakan pada 2021 dan ia adalah proses yang berterusan,” katanya pada sesi Coffee Klatch sempena EON & Sahabat Media Getaway 2024 di Genting Highlands di sini, kelmarin.
Sementara itu, beliau berkata, aset digital banyak memberi fokus kepada selepas jualan dan juga sebelum jualan seperti bilik pameran digital EON dan juga aset digital, EON Capital.
Tambahnya, EON Capital menyasarkan untuk menangani perkara utama yang dihadapi pelanggan dengan menyediakan proses permohonan pinjaman kereta yang cepat dan selamat yang menawarkan akses kepada produk kewangan bernilai serta membantu mendapatkan kereta secepat mungkin.
“Lebih banyak aset digital akan diperkenalkan selepas ini. Tetapi pada masa ini, tumpuan kami adalah untuk memaksimumkan aset digital yang sedia ada.
“EON Capital adalah syarikat teknologi yang diwujudkan untuk memudahkan orang ramai untuk membeli kereta,” ujarnya.
Difahamkan sudah lebih 800 permohonan untuk pembelian kereta telah dibuat melalui EON Capital sejak pra pelancaran pada Mac lalu.