Enovix rancang labur RM5.8 bilion di Malaysia - Utusan Malaysia

Enovix rancang labur RM5.8 bilion di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enovix Corporation, peneraju global dalam teknologi bateri berprestasi tinggi merancang melabur sejumlah AS$1.2 bilion (RM5.8 bilion) di Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang, selepas membuka kemudahan pembuatan volum tinggi pertamanya (Fab2) di negara ini.

Kemudahan tercanggih itu telah memulakan pengeluaran bateri berketumpatan tenaga tinggi dan kini menerima kunjungan daripada pelanggan global terkemuka.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Fab2 Enovix merupakan langkah besar bagi Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk teknologi bateri termaju, menonjolkan landskap pelaburan negara yang kondusif.

“Ia juga memenuhi objektif kita menarik industri berteknologi tinggi yang tepat meningkatkan kerumitan ekonomi negara, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Kami mengalu-alukan kemudahan baharu ini yang merupakan pencapaian penting bagi Enovix dan sangat menyokong matlamat NIMP dengan memupuk inovasi, mencipta pekerjaan bernilai tinggi, dan memacu pertumbuhan yang mampan, sambil semakin meletakkan Malaysia sebagai hab global untuk teknologi termaju,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, majlis perasmian untuk penubuhan kemudahan pembuatan volum tinggi pertama Enovix di Malaysia menandakan permulaan babak yang menarik bagi syarikat terbabit.

“Negeri ini berbesar hati dipilih untuk menempatkan kemudahan terhormat ini yang pastinya akan membawa limpahan teknologi dan ekonomi yang positif untuk bukan sahaja Pulau Pinang, tetapi wilayah utara Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan besar Enovix di Malaysia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan teknologi tenaga kerja negara.

“MIDA berbangga menyokong Enovix dalam misi mereka merevolusikan teknologi bateri, dan kami percaya bahawa kepakaran termaju mereka akan memberi kesan berganda kepada ekosistem tempatan kita.

“Sebagai rakan kongsi, kami komited untuk menyediakan Enovix dengan sokongan dan kemudahan yang mereka perlukan untuk berjaya, dan kami yakin kehadiran mereka akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara serta rakyat.

“Kami tidak sabar untuk bekerja rapat dengan Enovix untuk mencapai matlamat mereka dan membuat perubahan dalam industri,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Enovix, Datuk Ajay Marathe mengatakan pihaknya sangat teruja untuk membuka pintu di Fab2 dan mempamerkan proses pembuatan termaju bagi bateri termaju yang dipercaya akan membawa kepada era baharu produk untuk pelanggan terkemuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya