Empat syarikat telekomunikasi kemuka bidaan 5G kedua - Utusan Malaysia

Empat syarikat telekomunikasi kemuka bidaan 5G kedua

FAHMI Fadzil (tengah) merasmikan Majlis Perasmian Huawei Malaysia Supplier Ecosystem Convention 2024 di MITEC, Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/ILHAM ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah mengemukakan bidaan masing-masing kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil bahagian dalam rangkaian 5G kedua nanti.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebelum ini, kerajaan menetapkan bahawa mana-mana syarikat telekomunikasi yang ingin terlibat dalam tender rangkaian 5G kedua perlu menandatangani perjanjian langganan dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

“Setakat ini, lima syarikat telah berjaya melakukannya, dan empat daripadanya ialah Celcom Digi, Maxis, U Mobile, dan Telekom Malaysia.

“Keempat syarikat telekomunikasi ini telah memasukkan tender mereka dan keputusan akhir akan berdasarkan tender yang diserahkan oleh empat syarikat ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Huawei Malaysia Supplier Ecosystem Convention 2024, di sini, hari ini.

Menjawab mengenai bila keputusan itu akan diumumkan, beliau hanya berkata ia dijangka dalam masa terdekat ini.

“Bagaimanapun, tarikh tepat masih belum diperoleh daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menguruskan proses ini.

“Proses masih berjalan, namun ia dijangka akan selesai dalam tahun ini. Keputusan tersebut akan diumumkan oleh pihak kementerian atau SKMM kelak,” katanya.

Mengulas mengenai perlesenan media sosial, beliau berkata, perkara itu sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa.

“Setidak-tidaknya satu rang undang undang keselamatan dalam talian dapat dibawa ke Parlimen dan sedang digubal oleh pasukan Datuk Seri Azalina, dalam sidang yang akan datang.

“Selain itu, ada beberapa perkara yang perlu dipinda dalam undang undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan.

“Kerajaan berhasrat untuk melesenkan platform platform media sosial adalah untuk turut mengatasi masalah penipuan (scam), judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa undang undang perlu dipinda di dalam beberapa kategori ini dengan contoh, mengkhususkan buli siber dengan takrif yang teliti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN