Elridge rancang bina tiga kilang bahan api biojisim baharu - Utusan Malaysia

Elridge rancang bina tiga kilang bahan api biojisim baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Elridge Energy Holdings Bhd. (EEHB), syarikat memfokuskan pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim merancang mengembangkan lagi kapasitinya dengan tambahan sebanyak 720,000 tan menerusi pembinaan tiga kemudahan baharu.

Pada masa ini, EEHB yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Ogos ini meraih hasil yang lebih baik disokong oleh operasi kemudahan baharunya di Kapar, Selangor yang berupaya mengendalikan kapasiti tambahan sehingga 240,000 tan.

IPO itu, yang ditetapkan pada harga 29 sen sesaham, membabitkan terbitan awam sebanyak 350 juta saham dan tawaran penjualan 350 juta saham sedia ada, menurut prospektus IPO syarikat.

Secara keseluruhan, IPO itu membabitkan penjualan sehingga 35 peratus kepentingan dalam syarikat itu yang akan menilainya pada RM580 juta sebaik disenaraikan.

Disebabkan oleh tenaga biojisim mendapat permintaan rancak, hasil Elridge diramalkan berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) tiga tahun sebanyak 12 peratus, dipacu oleh segmen pembuatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

RHB Investment Bank berkata, pengembangan operasi ini dijangka akan melonjakkan lagi kemampuan pengeluaran EEHB dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatannya.

“Dengan ini, kami meramalkan perolehannya akan meningkat pada CAGR tiga tahun sebanyak 29.5 peratus dengan margin dijangka meningkat sedikit, dibantu oleh tumpuan berterusan kumpulan ini pada pasaran yang ada di peringkat serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Katanya, EEHB dijangka menjana sebanyak RM101.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM47 juta akan digunakan untuk pembelian tanah dan pembinaan kilang dan gudang baharu di Kuantan, Pahang, manakala RM21.1 juta akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu.

“Selain itu, sebanyak RM27 juta daripada dana diraih akan digunakan sebagai modal kerja, baki RM6.3 juta pula akan diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

EEHB adalah syarikat pemegangan pelaburan dengan anak syarikat milik penuhnya, Bio Eneco Sdn. Bhd. mengkhusus kepada pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim, dengan tumpuan pada tempurung isirung sawit dan pelet kayu.

Kelompok pelanggan utamanya ialah syarikat perdagangan produk bahan api biojisim yang menjual produk kepada pengguna akhir, terutamanya pengeluar yang memerlukan dandang gred industri untuk menjana haba atau tenaga, selain kepada pengendali loji kuasa biojisim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya