Ekuinas tangguh IPO Al-Ikhsan hingga tahun depan - Utusan Malaysia

Ekuinas tangguh IPO Al-Ikhsan hingga tahun depan

Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas)memutuskan untuk menangguhkan tawaran awam permulaan (IPO) unit runcitnya, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. sehingga tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abdul Kadir berkata, keputusan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap prospek pasaran yang kurang menggalakkan, terutamanya dalam sektor pengguna.

“Apa yang kami akan lakukan adalah mungkin menangguhkan penyenaraian ke tahun hadapan kerana prospek keseluruhan tidak begitu baik, terutamanya dalam sektor pengguna.

“Prospek dilihat masih agak lemah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Iltizam Catalyst 2023, di sini, semalam.

Ekuinas membeli 35 peratus saham dalam Al-Ikhsan pada 2016 dengan harga RM68.6 juta dan Al-Ikhsan kini mempunyai 181 cawangan.

Pada Mei 2023, Ekuinas berkata, syarikat itu sedang dalam perbincangan awal untuk memonetisasi pelaburannya dalam Al-Ikhsan melalui IPO atau jualan perdagangan, bergantung kepada penilaian.

Dalam pada itu, Ekuinas telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk program ILTIZAM Catalyst 2023 yang berlangsung sepanjang 12 bulan bagi memperkasa, memperkukuh dan memacu perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bumiputera.

Beliau berkata, Ekuinas memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh PKS, sama ada cabaran yang konvensional atau yang biasa dihadapi bersama, maupun yang unik bagi setiap sektor dan industri.

“Seramai 17 PKS bumiputera daripada tujuh sektor perniagaan telah berjaya menamatkan program itu. Sebanyak 133 permohonan diterima dan 17 syarikat telah dipilih untuk menyertai program Catalyst 2023 iaitu 11 dari Lembah Klang, Perak (tiga), Kelantan (dua) dan Sabah (satu).

“Mereka beroperasi dalam pelbagai sektor, iaitu pembuatan, peruncitan, makanan dan minuman (F&B), pendidikan, pertanian, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Ekuinas melalui program itu telah memperkasa 38 PKS bumiputera dari pelbagai sektor perniagaan, sejak program ini diperkenalkan pada 2022 dalam menangani cabaran-cabaran utama yang dihadapi PKS serta memperkukuhkan asas perniagaan.

“Pencapaian dan impak ILTIZAM Catalyst 2023 mencapai 100 peratus syarikat PKS mendapat kejelasan yang lebih baik dalam halatuju perniagaan mereka berdasarkan KPI yang ditetapkan.

“Sebanyak 94 peratus berjaya meningkatkan kemampuan keusahawanan dan kepemimpinan, manakal 71 peratus mencatatkan peningkatan dalam kehadiran jenama dan keterlihatan perniagaan.

“Selain itu, sebanyak 59 peratus mencatatkan peningkatan dalam keuntungan produk dan 29 peratus meningkatkan kekuatan kewangan dan pematuhan perniagaan.

“Sembilan daripada 17 syarikat pula mencapai sekurang-kurangnya empat daripada lima KPI yang ditetapkan,” ujarnya.

Tambahnya, permohonan ILTIZAM Catalyst 2024, Ekuinas kini dibuka sehingga 15 Ogos ini untuk menjemput PKS bumiputera untuk menyertai program itu.

“PKS bumiputera dalam sektor pembuatan, makanan dan minuman, runcit, pendidikan, pertanian, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan lain, yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mencatat pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta dengan rekod keuntungan selama dua tahun terakhir, digalakkan untuk memohon.

“Kami menyasarkan untuk mempunyai 15 syarikat bagi pusingan seterusnya dalam program ini. Pemilihan akan dibuat berdasarkan kualiti dan keunikan perniagaan syarikat tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya