Bursa Malaysia, pasaran saham serantau kembali pulih - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia, pasaran saham serantau kembali pulih

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia kembali pulih apabila meningkat 37.91 mata atau 2.47 peratus kepada 1,574.39 semalam, selepas kehilangan RM116.4 bilion permodalan pasaran dalam kejatuhan besar-besaran pasaran saham dunia kelmarin.

Pasaran saham serantau turut mengikuti trend pemulihan dengan Indeks Nikkei Jepun naik 3,217.04 mata atau 10.61 peratus kepada 34,675.46 selepas mencatatkan kejatuhan paling teruk sejak 1987 pada Isnin.

Kospi Korea Selatan turut mengukuh apabila naik 80.60 mata atau 4.5 peratus kepada 2,522.15, dan Indeks Komposit BEI Indonesia naik 92.15 mata atau 1.31 peratus kepada 7,151.80.

Bagaimanapun, Indeks STI Singapura susut 35.38 mata kepada 3,208.29 pada penutup dagangan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran akan terus berdagang dalam mod berhati-hati dalam masa terdekat susulan daripada perkembangan di Amerika Syarikat.

Ujarnya, terdapat tanggapan bahawaRizab Persekutuan (Fed) AS lewat bertindak untuk mengurangkan kadar faedah dan perkara ini boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi di negara tersebut berlaku.

“Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat kedudukan ekonomi AS masih lagi kukuh dan tiada keperluan bagi Fed bertindak secara agresif mengurangkan kadar faedah.

“Pandangan yang bercampur mengakibatkan tahap ketidakpastian yang tinggi di pasaran. Pasaran kewangan biasanya bergerak negatif, sekiranya tahap ketidakpastian pasaran meningkat.

“Oleh itu, sentimen pasaran akan terus berhati-hati dalam jangka masa terdekat ini. Justeru, bagi tempoh sekarang sehingga ke tarikh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 17 dan 18 September nanti, pasaran kewangan akan bergerak dalam jajaran yang sederhana,” katanya.

Kelmarin, seluruh pasaran saham Asia menjunam impak daripada kebimbangan bahawa AS menuju kemelesetan ekonomi yang seterusnya mencetuskan gelombang penghindaran risiko.

Dalam sesi dagangan itu juga, Indeks Nikkei Jepun jatuh lebih 12 peratus atau 4,400 mata kepada 31,458.42, kejatuhan terbesar dalam sehari sejak Oktober 1987.

Tidak terkecuali, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 74.57 mata atau 4.62 peratus kepada 1,536.48 daripada 1,611.05 pada penutup Jumaat.

Mengulas kesannya kepada eksport dan hutang negara, beliau berkata, ia bergantung kepada tahap permintaan luaran.

“Data sentimen perniagaan di AS seperti Indeks untuk Pembuatan ISM telah berada di kawasan yang menguncup iaitu di bawah paras 50 mata bagi tempoh empat bulan berturut-turut.

“Ekonomi China juga tumbuh perlahan ke paras 4.7 peratus pada suku kedua berbanding 5.3 peratus tempoh sebelumnya. Oleh itu, prospek bagi eksport agak mencabar.

“Bagaimanapun, sektor teknologi dijangka akan memacu pertumbuhan eksport negara memandangkan permintaan terhadap produk berkaitan semikonduktir dijangka semakin meningkat pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, dari segi hutang negara pula, katanya, kerajaan telah pun melaksanakan konsolidasi fiskal dengan menaikkan cukai perkhidmatan, pengenalan cukai baru rasionalisasi elektrik dan bahan api serta pelaksanaan e-invois.

“Usaha itu seharusnya akan membantu mengecilkan defisit fiskal kerajaan ke paras 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, pasaran mata wang serantau sememangnya mendapat kesan positif berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah di AS.

“Bagaimanapun, kebimbangan kemelesetan ekonomi AS dilihat memberi kesan negatif kepada pasaran ekuiti serantau disebabkan kemelesetan AS yang akan memberi impak secara sistemik kepada ekonomi dan pasaran global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya