PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, seiring dengan prestasi bercampur-campur di Amerika Syarikat (AS) malam tadi, kata penganalisis.
Pada pukul 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.83 mata kepada 1,598.83 daripada 1,605.84 pada Isnin.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung sebanyak 120 berbanding 430, dengan 278n kaunter tidak berubah, 1,609 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan sebanyak 434.615 juta unit bernilai RM216. 544 juta
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata,
perkembangan situasi geo-politik dilihat mendapat perhatian yang telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak ke paras AS$82 setong (RM364.90)
“Justeru, sentimen dilihat berhati-hati buat masa ini. Namun, data ekonomi di Malaysia dilihat menggalakkan.
“Data sektor pembinaan menunjukkan peningkatan yang besar dari segi Nilai Kerja Pembinaan yang meningkat sebanyak 20.2 peratus pada suku kedua berbanding 14.2 peratus pada tempoh sebelumnya.
“Oleh itu, data KDNK yang akan diumumkan pada Jumaat ini seharusnya akan menarik minat para pelabur terutamanya pelabur asing untuk terus menyokong pasaran ekuiti tempatan berikutan prospek pertumbuhan ekonomi yang baik bagi negara Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Indeks Nikkei Jepun meningkat 919.62 mata, atau 2.64 peratus, kepada 35, 953.88 ketika berita ini ditulis.
Indeks Kospi Korea Selatan menurun sebanyak 0.18 peratus atau -4.20 mata kepada 2,613.58 dan Indeks STI Singapura meningkat 0.39 peratus atau 13.86 mata kepada 3,248.97. – UTUSAN