KEBANYAKAN motosikal genre “adventure” sebenarnya hidup di atas jalan raya berturap.
Ternyata apa yang didambakan sebenarnya ialah reka bentuk lasak dan praktikaliti membawa kargo, sama seperti 99 peratus kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menjalar di jalan raya.
Mungkin kerana itu model GS keluaran BMW cukup popular di seluruh dunia, malah menjadi motosikal “adventure” yang paling laku sejak ia diperkenalkan ke dunia dalam tahun 1980.
Dari R80 GS yang menggunakan enjin 797.5 cc sejukan udara sehingga ke model R1300 GS yang diuji kali ini, ciri-ciri GS itu tetap wujud – enjin dua silinder boxer, hantaran tenaga menerusi aci pacu (shaft) dan kebolehan untuk ditunggang dengan selesa di atas jalan raya dan di kawasan lasak tetap dikekalkan.
R1300 GS ini diperkenalkan pada 2023 dan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini.
Walaupun ia kekal sebuah model GS, tetapi BMW Motorrad melakukan perubahan yang cukup ketara berbanding model sebelumnya, R1250 GS.
Model GS13 ini ialah sebuah model serba baharu, di mana tiada satu satu pun komponen yang dikongsi dengan model GS1250.
Penulis secara jujur terkilan dengan pemergian kerangka “trellis” yang digunakan semenjak model R1200 GS. Ia diganti dengan kerangka keluli tertekan (pressed steel) yang lebih kompak dan ringan.
Enjin dan transmisi juga diganti baharu dan sekali duduk, kita tahu BMW Motorrad mahukan GS ini lebih kompak dan lincah, walaupun saiz kapasiti enjin telah bertambah.
Panel meter digital melalui skrin LCD berwarna menggunakan “interface” yang sama seperti model-model BMW Motrrad yang lain. Fungsi juga tidak banyak berubah dan masih perlu disambungkan ke aplikasi telefon pintar jika mahu menggunakan sistem telemetri dan navigasi BMW.
Satu butang khusus di sebelah kiri bar hendal boleh bertukar fungsi mengikut kemahuan pemilik. Penulis memilih untuk menggunakan fungsi itu bagi mengawal sudut skrin hadapan kerana itu yang paling sering digunakan.
Spesifikasi tempatan tidak hadir dengan sistem bantuan tongkat tengah tetapi selepas menggunakan motosikal ini, ia memang tidak diperlukan kerana berbanding dengan model-model sebelum ini, GS1300 ini cukup mudah untuk ditegakkan.
Enjin 1,300cc dua silinder sejukan udara/cecair ialah enjin “boxer” paling berkuasa di dalam keluarga BMW Motorrad sekarang. Ia menghasilkan 145 PS dan daya kilas pada 149Nm, di mana segala tenaga itu dihantar ke roda belakang melalui transmisi 6-kelajuan yang kini diletakkan di bawah enjin, menjadikan motosikal ini lebih kompak.
Sistem gantungan kekal konsep yang sama tetapi diperbaharui dengan ciri-ciri teknologi tinggi seperti pelaras elektrik yang merendahkan ketinggian motosikal tersebut bila pegun, memudahkan penunggang yang tidak cukup inci.
Secara keseluruhan, GS1300 ini seberat 237 kilogram (kg), 12kg lebih ringan daripada GS1250, dan walaupun kedudukan enjin “boxer” itu tinggi sedikit berbanding model-model sebelumnya, GS13 masih mengekalkan sifat “berat di bawah” di mana titik gravitinya masih terletak hampir ke permukaan bumi.
Hasilnya, motosikal yang mempunyai tenaga yang lebih tinggi, tetapi lebih ringan, lebih kecil dan ternyata, lebih ligat.
Empat hari bersama GS1300 ini, penulis berkendara ke selatan Semenanjung, menggunakan laluan adunan lebuh raya, jalan raya persekutuan dan sedikit laluan off-road.
Berbanding GS1200, model GS1300 ini mempunyai perbezaan yang ketara dari segi prestasi. Ya, ia masih sama dari segi konsep, bunyi, kedudukan menunggang dan hantaran tenaga, tetapi perangai yang lincah itu menjadikan tunggangan lebih berkeyakinan di atas apa jua permukaan.
Jika dibandingkan dengan GS1250 pula, perbezaan di atas lebuh raya tidak begitu banyak, cuma GS1300 terasa lebih kecil untuk dipeluk kedua peha. Perlindungan angin lebih baik dan dengan skrin hadapan dengan pelaras elektrik, penulis mudah untuk mengubah kedudukannya walaupun ketika sedang menunggang.
Pelana jenis Rally memang sedikit keras, tetapi sistem gantungan aktif yang lebih responsif menjadikan tunggangan lebih selesa walaupun menunggang jauh.
Walaupun tangki bahan api ialah satu liter kurang, GS1300 masih mampu memberikan jarak perjalanan yang sama atau lebih.
Penulis mampu mencapai jarak perjalanan lebih 350 kilometer (km) dengan mudah. Mungkin jika ditunggang dengan lebih “sopan”, ia mampu pergi lebih tinggi dari itu.
Di dalam bandar, GS1300 terasa seperti menunggang adiknya, F850 GS. Di atas permukaan berpasir atau tanah, kotak gear yang lebih telus memudahkan penulis menukar gear. Tidak pernah sekali “tertipu” dengan kedudukan neutral palsu (false neutral), transmisi serba baharu ini cukup pantas menukar nisbah-nisbah.
Malah, ini mungkin transmisi terbaik dari BMW Motorrad.
Pada waktu malam, lampu bentuk X yang tidak begitu digemari oleh pencinta GS itu sebenarnya memberikan hantaran cahaya yang lebih jelas dan bila membelok, lampu LED dengan Headlight Pro menerangkan kawasan arah kita sedang membelok.
Sistem keselamatan elektronik yang diberikan secara standard pula memang tercanggih di dalam segmen ini. Selain daripada lima mod tunggangan (Road, Rain, Eco, Dynamic Pro dan Enduro Pro), Active Cruise Control, Front Collision Warning dan Lane Change Warning, GS1300 juga dilengkapi dengan Riding Assistant yang menggunakan sistem radar untuk mengesan kedudukan kenderaan lain di sekeliling motosikal ini.
Ia membantu penunggang dalam situasi kecemasan dengan cara mengawal brek dan hantaran tenaga, tanpa mengganggu gaya tunggangan. Malah, ia hanya aktif bila perlu, contohnya bila kenderaan di hadapan masuk ke laluan kita secara tiba-tiba.
Riding Assistant terus aktif dan meningkatkan kadar brek dengan pantas, di samping mengawal kestabilan motosikal agar ia mudah dikawal oleh penunggang.
Ternyata sistem itu direka dan ditala oleh mereka yang memang sering menunggang, dan ini ialah satu sifat yang membezakan pembuat kenderaan dari Eropah dan Jepun dengan yang hadir dari China kerana China masih kurang pengalaman dari segi kepuasan tunggangan atau pemanduan.
Motosikalmasih tidak akan mampu menyaingi KTM dari segi kebolehan menarah bukit bukau dan padang pasir, dan ia tentunya tidak akan selaju Ducati Multistrada V4 di atas jalan raya, tetapi BMW tidak memerlukan semua itu kerana apa yang peminatnya mahukan ialah sedikit dari kesemua kebolehan tersebut dan gaya tunggangan yang lebih santai dan mudah dikendali.
Lebih kurus untuk menyelit, lebih ringan untuk mudah ditukar arah dan daya kilas yang lebih cepat masuk pada kelajuan enjin rendah, BMW Motorrad berjaya menjadikan GS ini kekal legenda dan sekali lagi bakal menjadi idaman ramai.
BMW R1300 GS datang dalam dua varian – Trophy (biru) atau Triple Black (hitam) pada harga RM138,500 dan Option 719 Tramuntana pula ditawarkan pada harga RM149,500 (harga tanpa insurans dan waranti tiga tahun tanpa had perbatuan).
Tramuntana ialah varian premium yang hadir dengan pakej aksesori dan cuma ada satu pilihan warna iaitu hijau metalik. – UTUSAN