BMW perkenal kemudahan pengecas EV baharu di tiga lokasi utama - Utusan Malaysia

BMW perkenal kemudahan pengecas EV baharu di tiga lokasi utama

STESEN pengecas kenderaan elektrik (EV) oleh BMW di The Curve, Mutiara Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BMW Group Malaysia, dengan kerjasama pengedar sah dan operator titik pengecas utamanya, memperkenalkan empat kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) baharu di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pahang.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, pihaknya menekankan komitmen mereka dengan memperkenalkan lebih banyak kemudahan pengecas yang canggih di seluruh negara.

“Ini adalah komitmen terhadap Masa Hadapan Elektrifikasi untuk Malaysia, selain menerusi kekerapan pelancaran pelbagai model elektrik penuh daripada BMW dan MINI dalam hanya pertengahan pertama 2024.

“Sebagai pengeluar kenderaan EV premium, kami percaya bahawa kemudahan ini tidak hanya memenuhi keperluan pelanggan, tetapi juga membentuk tulang belakang sesebuah negara yang sedang menuju ke arah penerimaan EV secara komprehensif,” katanya.

Jelas beliau, di Lembah Klang, BMW Group Malaysia memperkenalkan dua kemudahan pengecas baharu.

“Kemudahan pertama yang terletak di The Curve, Mutiara Damansara didirikan hasil kolaborasi bersama Quill Automobiles dan ChargeSini.

“Kemudahan ini dilengkapi pengecas arus terus 47 kilowatt (kW) dengan kadar pengecasan berharga RM1.39/kWj.

“Kemudahan kedua pula dibangunkan bersama Millennium Welt dan ChargeSini, menyediakan tiga pengecas arus ulang-alik 22 kW di Imperial Lexis, Kuala Lumpur dengan kadar pengecasan bermula dari RM1.00/kW,” katanya.

Bagi di Negeri Sembilan, katanya, kumpulan itu bergandingan dengan Millennium Welt dalam memperkenalkan dua unit BMW i Wallbox di Hospital Pakar CMH, Seremban.

“Setiap Wallbox mempunyai output arus ulang-alik sebanyak 7.4 kW dan menyediakan pengecasan percuma untuk kakitangan hospital.

“Selain itu, lokasi terakhir iaitu Zenith Hotel Kuantan di Pahang, kini dilengkapi dengan pengecas pantas arus terus 160 kW, berharga RM1.69/kWj, hasil usahasama dengan Millennium Welt Kuantan dan EL Charge.

“Kemudahan pengecas baharu ini merupakan antara strategi kumpulan dalam membangunkan infrastruktur komprehensif yang diperlukan untuk pengecasan kenderaan elektrik bersama rakan niaga tempatan dengan matlamat yang sama, pengedar dan penyedia pengecas utama,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, lebih 2,020 kemudahan pengecas telah disediakan oleh BMW Group Malaysia untuk pemilik EV di Malaysia, melalui kerjasama strategik dengan pelbagai penyedia pengecas EV di Malaysia.

“Selain itu, lebih 100 kemudahan pengecas BMW i dan MINI juga tersedia di kebanyakan pengedar sah serta di lokasi rakan kerjasama di seluruh negara.

“Lebih banyak lagi akan disediakan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan infrastruktur strategik yang dirancang untuk tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN