PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengemukakan cadangan mengenai pembangunan bakat untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025 bagi menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI).
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, proses mempersiap, melatih dan membangun bakat dalam kecerdasan buatan (AI) perlu diberi penekanan bagi menyediakan mereka untuk memasuki industri.
Ujarnya, cadangan yang akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) itu juga menyaksikan dua kementerian berkenaan saling berkongsi idea bagi memastikan negara mempunyai perancangan bakat mencukupi untuk menyokong industri berkenaan yang berkembang pesat.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (mengenai perkara ini). Adalah penting untuk kita mempersiapkan industri ini dengan bakat yang mempunyai kemahiran AI.
“Ini bagi memastikan bakat dari universiti dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat mengadaptasi dan bersedia untuk bekerja di syarikat-syarikat.
“Jadi inilah yang kami usahakan dan bentangkan bersama kepada Menteri Kewangan tentang apa yang diperlukan pada Belanjawan 2025 akan datang. Menyokong pembangunan dan adaptasi AI terutamanya dalam negara,” katanya kepada pemberita pada Persidangan AI 2024 di Menara BAC di sini, semalam.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Tengku Zafrul berkata, ekosistem yang kukuh adalah berhubung membina saluran bakat yang teguh, memastikan tenaga kerja negara mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam ekonomi dipacu AI.
“Saya berharap peserta persidangan akan mengemukakan cadangan yang kukuh tentang cara kerajaan, ahli akademik dan industri boleh bekerjasama dengan lebih baik untuk memupuk ekosistem AI yang berkembang maju yang memberi manfaat kepada orang ramai, terutamanya komuniti terpinggir,” ujarnya.
Beliau berkata, transformasi digital adalah pemboleh yang kukuh untuk mengubah dan meningkatkan produktiviti merentas sektor.
Mengambil contoh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), beliau berkata, satu daripada misi adalah untuk memanfaatkan pendigitalan untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti dan memupuk pertumbuhan yang mampan.
“Dengan menyasarkan untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar, kami akan memastikan pengeluar dilengkapi dengan baik untuk mengguna pakai dan menyepadukan AI dan teknologi digital ke dalam operasi mereka.
“Ini juga merupakan sebahagian daripada cita-cita AI keseluruhan Malaysia,” jelasnya.
Persidangan AI 2024, bertemakan ‘AI Memacu Ekonomi Negara: Peluang dan Cabaran’ dianjurkan oleh Nexus Productivity Elektrik dan Elektronik (EEPN) dan Nexus Productivity Digital (DPN) Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Acara itu menghimpunkan pemimpin industri, pegawai kerajaan dan pakar AI untuk membincangkan kesan transformatif kecerdasan buatan terhadap ekonomi dan produktiviti Malaysia. – UTUSAN