AWS umum komitmen pelaburan RM29.2b sehingga 2038 - Utusan Malaysia

AWS umum komitmen pelaburan RM29.2b sehingga 2038

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amazon Web Services (AWS), syarikat Amazon.com Inc mengumumkan komitmen pelaburan jangka panjang sebanyak AS$6.2 bilion (RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038 seiring pelancaran Wilayah AWS Asia Pasifik (Malaysia).

Pelancaran wilayah infrastruktur itu memberikan pemaju, syarikat pemula niaga, usahawan dan perusahaan di Malaysia pilihan yang lebih luas untuk menjalankan aplikasi dan memberikan perkhidmatan kepada pengguna akhir daripada pusat data AWS tempatan.

Wilayah AWS yang baharu itu dijangka menyumbang kira-kira AS$12.1 bilion (RM57.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dan menyokong secara purata lebih 3,500 pekerjaan sepenuh masa sehingga 2038.

Pekerjaan itu termasuk pembinaan, penyelenggaraan kemudahan, kejuruteraan, telekomunikasi dan lain-lain dalam ekonomi negara yang lebih luas, akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan AWS di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelancaran wilayah infrastruktur AWS di Malaysia memberikan akses kepada teknologi baharu dan dan baru muncul untuk entiti serta perniagaan Malaysia dalam semua saiz, sekali gus meningkatkan keupayaan negara kita untuk inovasi digital

Beliau berkata, pencapaian itu adalah langkah penting ke arah memenuhi visi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) untuk membina ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, makmur, inklusif dan mampan.

“Kami mengiktiraf kuasa transformatif pendigitalan, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab pembuatan dan perkhidmatan di Asia.

“Sebagai pelaburan terbesar yang dibuat oleh syarikat teknologi antarabangsa di Malaysia, infrastruktur AWS Region akan membantu memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan AWS di Seattle, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan Infrastruktur AWS, Prasad Kalvanararnan berkata, Wilayah AWS itu membolehkan organisasi di seluruh Asia Pasifik memanfaatkan potensi penuh awan yang paling luas dan boleh dipercayai di dunia.

“Ini sekali gus membantu pelanggan menggunakan aplikasi termaju dengan pelbagai teknologi AWS seperti Al dan ML.

“Ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat memerlukan akses kepada infrastruktur awan yang selamat, berdaya tahan dan mampan.

“Dengan pelancaran hari ini, AWS berbangga untuk menyokong transformasi digital Malaysia dan membantu mempercepatkan peranannya sebagai hab serantau untuk AI,” katanya.

Dengan pelancaran itu, AWS kini mempunyai 108 Zon Ketersediaan merentasi 34 wilayah geografi dengan rancangan melancarkan 18 Zon Ketersediaan tambahan dan enam Wilayah AWS tambahan di Mexico, New Zealand, Arab Saudi, Taiwan, Thailand dan AWS European Sovereign Cloud.

Wilayah AWS terdiri daripada Zon Ketersediaan yang menempatkan infrastruktur di lokasi geografi yang berasingan dan berbeza.

Wilayah AWS Asia Pasifik (Malaysia) terdiri daripada tiga Zon Ketersediaan yang terletak cukup jauh antara satu sama lain untuk menyokong kesinambungan perniagaan pelanggan, tetapi cukup dekat untuk menyediakan kelewatan atau masa ketinggalan rendah untuk aplikasi ketersediaan tinggi yang menggunakan berbilang Zon Ketersediaan.

Setiap Zon Ketersediaan mempunyai kuasa bebas, penyejukan dan keselamatan fizikal, serta disambungkan melalui rangkaian kelewatan atau masa ketinggalan yang ultra-rendah.

Pelanggan aktif di Malaysia antaranya termasuk Bursa Malaysia, Bank Islam Malaysia, GX Bank Bhd., PayNet, Johor Corporation, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Jabatan Penyiaran Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN