Audi Q8 E-Tron Advance 50 SUV - Kenderaan elektrik gaya mewah - Utusan Malaysia

Audi Q8 E-Tron Advance 50 SUV – Kenderaan elektrik gaya mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENAMA Audi memastikan produk mereka akan sentiasa menggandakan sama ada nilai reka bentuk yang menarik atau teknologi kejuruteraan yang terkini.

Ada ketikanya, kedua-dua faktor utama ini digabungkan dalam satu model yang diperkenalkan kepada pasaran.

Malah, keadaan ini lebih terserlah apabila Audi memperkenalkan satu lagi kenderaan elektrik sepenuhnya, iaitu Audi Q8 E-Tron Advance 50 SUV.

SENI REKA BENTUK
Secara kasarnya, ia adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang turut menampilkan fizikal yang besar, berukuran 4,915 milimeter (mm) panjang dan 1,937mm lebar. Saya pernah memandu uji sebuah SUV elektrik sebesar ini iaitu BMW iX. Ada sedikit persamaan dari segi pengendalian atau pemanduan di antara kedua-dua kenderaan SUV elektrik ini.

Dari sudut papan pemuka dan konsol tengah, yang mana E-Tron ini mempamerkan hampir keseluruhan informasi tentang teknologi kenderaan SUV elektrik ini. Dipaparkan pada tiga skrin berbeza yang mana pada bahagian belakang sterengnya, mempamerkan informasi tentang sistem keselamatan pemanduan dan bantuan pemanduan elektronik, termasuk informasi tentang kelajuan, jarak dan baki kuasa tenaga bateri.

Bagi skrin tengah pula, lebih mempamerkan sistem infotainmen, navigasi dan juga paparan kamera yang terdapat di sekelilingnya.

Skrin yang berada di bahagian bawah lebih menampakkan kawalan sistem pendingin hawa untuk tempat duduk hadapan dan belakang.

Sementara itu, konsol tengah seperti biasa mempunyai beberapa tombol-tombol suis seperti menghidup dan mematikan enjin, suis bantuan parkir elektronik dan juga tombol mengawal menu dan kadar audio sistem infotainmen.

Seperti kebanyakan kenderaan elektrik, tombol gear yang dibekalkan agak pelik dan unik. Hanya perlu menolak kedudukan tombol gear dengan dua jari bagi mengalih pemanduannya.

PEMANDUAN
Sudah tentu Audi ini mempunyai keupayaan untuk berhubung dengan alat peranti anda untuk membolehkan pemandunya berhubungan dengan dunia telekomunikasi.

Begitu pun, skrin sesentuh utamanya, kadang-kala memerlukan sentuhan yang lebih keras atau berulang. Sama ada skrin tersebut perlu dibersihkan kerana terdapat banyak habuk halus atau kadar sensitivitinya sedikit kurang. Kerap kali saya perlu menekan, menu-menu sistem infotainmennya berulang kali untuk mendapatkan fungsi yang saya mahu.

Dari sudut luarannya pula, penggunaan roda bersaiz 20 inci tidak menghalang kenderaan ini mencapai tujahan 0-100km/j dalam hanya enam saat dan dikatakan mampu mencapai kelajuan 200km/j dengan begitu mudah sekali.

Namun sebagai sebuah kenderaan EV, bukan kelajuan maksimum yang dicari tetapi adalah sejauh mana jarak pemanduan yang boleh dilakukan. Mengikut kenyataan media rasminya, Q8 E-Tron ini mampu mencapai jarak 410 kilometer dengan kadar kelajuan biasa.

Julat pendorongan kenderaan ini pula mendapat ‘all-wheel drive” (AWD), dengan penggunaan dwi-motor yang menghasilkan 340hp (metrik) dan 664Nm. Selain memberikan penghantaran kuasa di antara keempat-empat rodanya, ia turut memberikan satu kestabilan dalam pemanduan terutama dari segi penghantaran kuasa.

Jika prestasi sistem suspensinya ingin dikupas, saya mendapati, pemanduan atas jalan raya yang tidak terlalu rata memberikan perasaan yang agak tenang dan selesa. Tetapi ia tampak sedikit keras apabila mula merentasi keadaan jalan yang berbatu-batu.

KESIMPULAN
Kenderaan SUV menjanjikan tiga perkara iaitu keselesaan, ruang penyimpan barangan yang luas dan kerap kali memberikan imej eksekutif dan eksklusif.

Ditambah pula dengan sistem janakuasanya iaitu kenderaan elektrik sepenuhnya, selain menjanjikan satu tujahan kuasa yang kuat dan segera (seperti mana-mana kenderaan elektrik sepenuhnya), sistem bantuan pemanduan elektoniknya sudah tentu yang terkini dan termoden di pasaran.

Namun, saya seorang pemandu uji Old School, melalui zaman motosikal dua lejang ke empat lejang, bahan bakar ke sistem hibrid, dan kini, melalui keberadaan kenderaan yang telah berevolusi ke kenderaan elektrik sepenuhnya.

Apa yang boleh saya katakan, Audi E-Tron yang berharga sekitar RM379,000 seunit ini memerlukan saya untuk pandai menguruskan perjalanan dan kegunaan kenderaan.

Kemampuan mengetahui pusat-pusat pengecasan kenderaan EV (walau boleh dimuat naik dalam sistem navigasi kenderaan ini), namun saya masih lagi gusar dan mata kerap tertumpu pada baki kuasa bateri kenderaan.

Mungkin rakyat Malaysia secara umum sebenarnya sudah bersedia menggunakan kenderaan EV ini secara total? Namun tidak bagi saya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya