PETALING JAYA: Asia Tenggara dijangka mengatasi China dalam tempoh 10 tahun akan datang dari segi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pelaburan langsung asing (FDI), menurut laporan baharu oleh DBS Bank, Bain & Company and the Angsana Council.
Laporan bertajuk “Navigating High Winds: Southeast Asia Outlook 2024 – 2034” mendapati KDNK enam ekonomi teratas di Asia Tenggara (SEA-6) iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, akan berkembang pada kadar purata tahunan atau 5.1 peratus dengan Vietnam dan Filipina memacu pertumbuhan rantau ini, melebihi 6.0 peratus.
Laporan itu menyediakan ramalan pertumbuhan 10 tahun untuk ekonomi SEA-6 dengan mengkaji faktor yang memberi kesan kepada buruh, modal dan produktiviti.
Ia juga menonjolkan prestasi ekonomi sejarah pasaran SEA-6 berbanding pemacu pertumbuhan tradisional dan kontekstual.
Pada 2023, buat pertama kali dalam tempoh sepuluh tahun, SEA-6 menarik lebih banyak FDI daripada China; FDI SEA-6 meningkat kepada AS$206 bilion (RM947 bilion) manakala China mencatatkan AS$43 bilion.
Antara 2018 dan 2022, SEA-6 meningkatkan FDInya sebanyak 37 [peratus, berbanding China pada 10 peratus.
Rakan pengasas pejabat Bain & Company di Singapura, Charles Ormiston berkata, ini terutamanya disebabkan oleh politik dan bukan daya saing sebagai pemacu utama perubahan
“Kedua-dua keterbukaan politik dalaman Asia Tenggara dan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan menyumbang kepada peningkatan tersebut.
“Pembentukan modal domestik China berada pada tahap tinggi 90 peratus, namun tidak bermakna China akan mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih rendah kerana ia kehilangan aliran FDI.
“Adakah ini kerana Asia Tenggara kini jauh lebih kompetitif berbanding China? Tidak, ia sebenarnya kerana politik dan tarif adalah pemacu utama perubahan ini,” tambahnya.
Ketua ekonomi di DBS Bank, Taimur Baig berkata, unjuran pertumbuhan Malaysia sebanyak 4.5 peratus tahun ini menunjukkan “keyakinan sebenar buat kali pertama.”
“Ini berikutan keterujaan mengenai cita-cita semikonduktor dan pusat data di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor,” jelasnya.
Laporan itu menggalakkan SEA-6 untuk menerima pakai peluang dalam lima bidang iaitu dalam sektor pertumbuhan baru muncul, untuk menjadi proaktif dalam memanfaatkan teknologi, membangunkan pasaran kewangan, mempercepatkan peralihan hijau dan menerima pertumbuhan kolektif.
Laporan itu menyatakan bahawa Singapura, Malaysia dan Thailand bersedia untuk menjadi pemain utama dalam membangunkan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan dalam perbankan, insurans, ekuiti persendirian dan ruang pinjaman mikro.
Sementara itu, Filipina, Vietnam dan Indonesia berada pada kedudukan yang baik untuk menghasilkan tenaga kos rendah, yang akan membantu menjana keperluan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini. – UTUSAN