LANGKAWI: Bermula sekadar hendak mencari pendapatan sampingan, kini seorang usahawan Kraftangan Malaysia berjaya menjana pendapatan untuk menyara keluarga dengan hasil anyaman mengkuang.
Siti Fatimah Rahani, 34, mula berkecimpung dengan seni anyaman mengkuang pada 2015 selepas dia terpaksa berhenti kerja di sebuah hotel mewah di pulau pelancongan ini bagi menjaga anak keduanya yang sering sakit.
Jelasnya, dia yang juga ibu tunggal kepada tiga orang anak ditawarkan oleh Kompleks Kraf Langkawi untuk mempelajari teknik anyaman mengkuang sebelum mendaftarkan dirinya sebagai usahawan.
“Pada mulanya saya hanya ingin membuat pendapatan sampingan kerana sudah terbiasa ada duit sendiri.
“Tetapi kini saya berjaya mendapat sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan dan mampu menyara anak-anak dengan hasil anyaman mengkuang ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bengkel Tuba Island Craft di Kampung Bukit Lembu, Kedawang, di sini.
Menurut Siti Fatimah, hasil anyaman mengkuang mempunyai banyak permintaan namun tidak ramai yang mengusahakan seni ini secara serius.
Katanya, dia pernah berjumpa dengan beberapa orang yang penganyam mengkuang di sekitar Langkawi namun kebanyakan mereka tidak mahu lagi menerima tempahan kerana faktor usia.
Jelasnya, ada di antara mereka yang sudah berusia 80 tahun ke atas dan masih mahir menganyam mengkuang namun tiada waris yang mahu menyambung kemahiran tersebut.
“Selain daripada anyaman mengkuang yang dijadikan tikar, saya juga menghasilkan beberapa produk seperti bekas duit syiling, beg kosmetik, beg tangan, serta pembalut pasport dengan anyaman ini,” katanya.
Tambahnya, dia mendapat tempahan sekitar 300 unit sebulan dan ada antara produk tersebut turut ditempah secara tetap pada setiap bulan oleh beberapa kedai cenderamata di Langkawi.
“Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) juga banyak menempah produk mengkuang untuk dijadikan cenderamata korporat dan pernah menempah sehingga 500 unit untuk satu tempahan,” ujarnya.
Siti Fatimah berkata, dia juga mampu berkongsi rezekinya dengan suri rumah yang lain yang biasanya diupah untuk menyiapkan jahitan produk anyaman mengkuangnya.
“Ada kalanya saya juga dijemput untuk mengajar teknik menganyam mengkuang kepada pelajar sekolah dan universiti selain saya juga mengajar cara anyaman mengkuang untuk Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK).
“Jika tidak berkesempatan, saya akan meminta ahli PPKK yang sudah mahir untuk pergi mengajar, sekali gus berkongsi rezeki dengan mereka pula,” katanya.
Menurutnya, hasil promosi daripada Kompleks Kraftangan Langkawi dan tempahan yang dibuat oleh LADA, dia juga hampir tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang dibuat pelanggan sehingga ada kalanya terpaksa menolak tempahan.
Jelasnya, ahli PPKK juga ada membantu menyiapkan anyaman pelanggan, namun kadang kala jumlah yang diminta melebihi kemampuan mereka kerana golongan itu bukannya bekerja secara tetap dengannya.
“Apa-apa pun saya amat bersyukur kerana Kraftangan Malaysia telah menyenarai pendek nama saya untuk diletakkan di bawah Program Perantis di mana saya akan mendapat seorang pekerja.
“Pada permulaannya pekerja ini akan dibayar gajinya oleh Kraftangan Malaysia selama enam bulan sebelum saya dipertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja ini,” ujarnya.
Siti Fatimah berkata, inisiatif itu akan membantunya untuk menyiapkan lebih banyak produk anyaman mengkuang berbanding pekerja separuh masa.-UTUSAN