Airbus mahu perkukuh usaha sama di Malaysia - Utusan Malaysia

Airbus mahu perkukuh usaha sama di Malaysia

Wouter van Wersch
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Airbus berhasrat untuk memperkukuh usaha sama strategik yang turut merangkumi bidang kemampanan di Malaysia.

Naib Presiden Eksekutif Antarabangsa, Wouter van Wersch berkata, Malaysia merupakan negara yang diberikan keutamaan oleh Airbus, dihargai di atas penawaran peluang perniagaan yang luas dan usaha sama yang tinggi.

“Kedudukan Airbus yang kukuh dan meluas dalam industri di negara ini membolehkan Malaysia menjadi pangkalan pembekal terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Melalui usaha sama dengan seramai 14 rakan kongsi dan pembekal tempatan, setiap pesawat komersial Airbus serta pesawat pengangkut tentera A400M, mempunyai alat ganti yang dihasilkan di Malaysia.

“Aktiviti perolehan ini membantu menyokong kira-kira 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia setiap tahun,” katanya dalam sebuah majlis, di ibu negara semalam.

Pada masa ini, Airbus memiliki lebih 280 buah pesawat komersial yang berada dalam perkhidmatan dengan syarikat penerbangan di Malaysia, hampir 100 buah helikopter sivil dan tentera, empat buah pesawat pengangkut tentera, dan dua buah satelit yang menyokong sistem pertahanan dan pembangunan negara.

Bagi perancangan masa hadapan, beliau berkata, Airbus menyasarkan untuk membangunkan usaha sama baharu dalam bidang kemampanan.

“Syarikat melihat potensi yang besar bagi Malaysia untuk menjadi sumber utama bahan mentah di rantau ini bagi pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF). Antara sumber bahan api yang sedang dikaji merangkumi sumber seperti minyak alga dan rumpai laut.

“Airbus bertindak selaku peneraju dan pemangkin dalam memastikan masa hadapan yang mampan bagi industri.

“Ia berasaskan pencapaian kepada pelbagai teras termasuk menggantikan pesawat lama dengan jenis pesawat generasi baharu, mempertingkatkan pengeluaran dan penggunaan SAF, dan kemuncaknya pengenalan kepada sumber bahan api baru seperti hidrogen,” ujarnya.

Tambahnya, Airbus teruja untuk menjalin usaha sama dengan masyarakat setempat demi menjamin masa hadapan yang mampan bagi industri penerbangan dan membantu memacu kemajuan teknologi dan ekonomi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN