PETALING JAYA: Agrobank akan pembukaan semula cawangan di Spaoh, Sarawak sebagai sebahagian komitmen untuk meningkatkan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar.
Agrobank dalam kenyataan berkata, pembukaan ini mengetengahkan keperluan perbankan bagi penduduk dan usahawan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan di kawasan tersebut.
Jelas Agrobank, penutupan cawangan Spaoh adalah satu keperluan untuk pengubahsuaian pejabat daerah yang lama kepada Agensi Pembangunan Betong.
“Selaras dengan hal ini, Agrobank telah mengenal pasti kawasan baharu yang sesuai untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang ditawarkan.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah mengenal pasti lokasi yang sesuai dan sedang berusaha untuk membuka cawangan Spaoh di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembukaan semula cawangan Spaoh membuktikan komitmen Agrobank untuk berbakti kepada komuniti luar bandar di Sarawak.
“Kami percaya bahawa akses kepada servis perbankan memainkan peranan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman kewangan di kawasan-kawasan ini,” katanya.
Di samping itu, sempena program “Road to MAHA 2024 @ Sarawak” yang diadakan baru-baru ini di Miri pada 8 hingga 11 Ogos 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengamanahkan Agrobank untuk menguruskan sebanyak RM6.23 juta peruntukan dana melalui pelbagai program.
Jelasnya, dana peruntukan yang disalurkan kepada Agrobank akan diagihkan melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM), Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) dan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA).
“Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan indsutri agromakanan negeri Sarawak dan menyokong usahawan tempatan dalam usaha mereka menceburi sektor pertanian,” katanya.
Tengku Ahmad Badli berkata, setakat Julai 2024, Agrobank telah melupuskan dana pembiayaan sebanyak RM95.4 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak, yang memberi manfaat kepada 2,758 orang peserta.
“Skim ini dan rancangan pembukaan cawangan kami menunjukkan pendekatan yang holistik untuk menyokong pembangunan negeri Sarawak.
“Usaha-usaha ini dibina atas dasar komitmen berterusan Agrobank kepada Sarawak,” katanya. – UTUSAN