99 Speed Mart dijangka jana RM2.36b melalui IPO di Pasaran Utama - Utusan Malaysia

99 Speed Mart dijangka jana RM2.36b melalui IPO di Pasaran Utama

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd. melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar Malaysia dalam tempoh tujuh tahun yang dijangka menjana sehingga RM2.36 bilion untuk penyenaraian Pasaran Utama, Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 9 September depan.

Menurut prospektus pengendali rangkaian kedai serbaneka itu, IPO tersebut berharga RM1.65 dan telah mula menerima tempahan daripada pelabur runcit dan institusi.

Tawaran runcit akan ditutup pada 23 Ogos, manakala peringkat institusi akan berakhir pada 27 Ogos.

Jika berjaya, IPO itu akan mengumpul dana paling banyak di Bursa Malaysia sejak Julai 2017, apabila Lotte Chemical Titan Holding Bhd mencatatkan kutipan RM3.77 bilion.

Pada masa ini, 99 Speed ​​Mart mengendalikan lebih daripada 2,600 kedai di Malaysia dan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan cawangan kepada 3,000 kedai menjelang akhir 2025

IPO tersebut disokong oleh 14 pelabur asas termasuk pengurus dana AHAM Asset Management Bhd dan Areca Capital, penanggung insurans AIA dan Great Eastern Life Assurance serta syarikat pelaburan negeri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Pelabur asas biasanya pelabur institusi yang besar, komited untuk mengambil sebahagian besar saham IPO sebelum ia dipasarkan kepada pelabur runcit dan institusi lain.

Kehadiran mereka membantu membina keyakinan pelabur lain untuk saham semasa IPO.

IPO tersebut melibatkan tawaran untuk penjualan 1.03 bilion saham sedia ada dan terbitan awam 400 juta saham baharu.

Bahagian institusi terdiri daripada 1.22 bilion saham melalui pembinaan buku, manakala 210 juta saham telah diperuntukkan kepada pelabur runcit.

Para pelabur asas telah bersama-sama bersetuju untuk mengambil 786 juta saham, lebih separuh daripada saham IPO dan masing-masing akan memegang kurang daripada lima peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Terbitan awam akan mengumpul sehingga RM660 juta dan syarikat itu telah memperuntukkan hampir 59 peratus daripada hasil untuk pengembangan rangkaian cawangannya.

99 Speed ​​Mart akan membelanjakan 15 peratus untuk menubuhkan pusat pengedaran baharu, 8.3 peratus untuk pembelian trak penghantaran dan 7.2 peratu untuk menaik taraf cawangan sedia ada.

Syarikat juga akan menggunakan 6.8 peratus atau RM45 juta daripada hasil IPO untuk pembayaran balik pinjaman bank sedia ada berjumlah RM49.2 juta dan selebihnya akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, tawaran jualan itu akan mengaut kira-kira RM1.7 bilion yang akan terakru sepenuhnya kepada pemegang saham jualan Lee Thiam Wah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat dan isterinya Ng Lee Tieng.

CIMB Investment Bank ialah penasihat utama IPO, pengumpul buku tunggal, penaja jamin pengurusan tunggal dan penaja jamin bersama. Affin Hwang Investment Bank dan RHB Investment Bank adalah penaja jamin bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN