KUALA LUMPUR: Indeks Syariah FTSE4Good Bursa Malaysia dan Indeks Syariah EMAS FTSE Bursa Malaysia mengatasi prestasi indeks bukan Syariah dalam tujuh bulan pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift berkata, ia sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat dalam syarikat yang mengutamakan amalan mampan dan beretika, menggariskan daya maju kewangan dan daya tarikan pelaburan patuh Syariah.
Ujarnya, sebanyak 833 atau 79.4 peratus daripada 1,049 kaunter tersenarai di Bursa Malaysia adalah patuh Syariah pada separuh pertama 2024.
“Permodalan pasaran sekuriti patuh syariah juga meningkat 19.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.3 trilion, membentuk 65.2 peratus daripada jumlah nilai pasaran
“Purata nilai dagangan harian (ADV) bagi sekuriti patuh Syariah meningkat 50.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.1 bilion, kini mencakupi 65.3 peratus daripada jumlah ADV,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di persidangan Invest Shariah 2024.
Beliau juga menekankan, pada 7 Mei 2024 Bursa Malaysia telah mencapai kejayaan bersejarah dengan melepasi permodalan pasaran RM2 trilion.
Menurut beliau, pasaran modal bursa tempatan telah menarik minat yang ketara, membawa kepada peningkatan penyertaan daripada pelabur domestik dan asing terutamanya didorong oleh penyusunan semula ekonomi dan pembaharuan fiskal yang berkesan oleh kerajaan.
“FBM KLCI kekal berdaya tahan, secara konsisten memegang sokongan melebihi paras 1,600 mata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemelesetan AS dan penurunan global dalam indeks pasaran ekuiti, sebahagiannya disebabkan oleh kelonggaran dagangan yen Jepun,” katanya.
Sehingga penghujung 2023, aset kewangan Islam Malaysia berjumlah RM3.8 trilion, meletakkan negara dalam kalangan tiga teratas di dunia.
Dalam pasaran modal Malaysia, Pasaran Modal Islam berjumlah RM2.4 trilion pada 2023, mewakili 64 peratus daripada jumlah pasaran modal negara, menurut Suruhanjaya Sekuriti.
Muhammad Umar menegaskan, kita berada pada saat yang penting dalam kewangan, di mana prinsip kelakuan beretika, rangkuman kewangan dan pendekatan didorong pihak berkepentingan menjadi semakin penting.
“Pengenalan baru-baru ini Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi Panduan Maqasid al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam adalah bukti peralihan ini.
“Panduan ini menekankan kepentingan mewujudkan sistem kewangan yang adil yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi juga memastikan kemampanan untuk generasi akan datang,” ujarnya. – UTUSAN