Westports raih hasil RM1.1 bilion enam bulan pertama 2024 - Utusan Malaysia

Westports raih hasil RM1.1 bilion enam bulan pertama 2024

WESTPORTS dijangka meraih keuntungan lebih tinggi tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Westports Holdings Bhd. (Westports) mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.1 bilion dengan kendalian jumlah kontena yang lebih tinggi sebanyak 5.40 juta TEU dalam tempoh enam bulan pertama 2024.

Perdagangan serantau intra-Asia menyokong pertumbuhan jumlah kontena Westports kerana laluan perdagangan ini menyumbang sebanyak 65 peratus daripada jumlah kontena yang dikendalikan.

Kumpulan juga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM408 juta dalam tempoh dikaji dan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.0889 sen sesaham berjumlah RM303 juta.

Menurut kenyataan, dalam segmen konvensional, Westports mengendalikan kargo pukal sebanyak 5.68 juta tan yang akan menyokong aktiviti ekonomi domestik kerana yang lebih besar adalah untuk kargo projek, bongkah, gegelung, kacang soya dan jagung.

“Selepas mengambil kira kos tenaga kerja dan susut nilai, bahan bakar adalah komponen kos operasi ketiga terbesar meningkat sebanyak lapan peratus.

“Syarikat menggunakan diesel tanpa subsidi untuk trak terminal dan kren kawasan kontena, selain membeli bahan bakar berkenaan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) berdasarkan harga yang diterbitkan oleh Platts.

“Oleh itu, peningkatan kos bahan bakar disebabkan oleh turun naik harga bahan bakar antarabangsa dan ringgit berbanding dolar AS dan bukan disebabkan oleh keputusan kerajaan untuk menghapuskan subsidi diesel,” katanya.

Jelasnya, jumlah pinjaman syarikat bagaimanapun meningkat kepada RM1.105 bilion berikutan pengeluaran pinjaman terbaharu sebanyak RM355 juta bagi pembelian Marina Land.

“Marina Land akan menyokong perbelanjaan pembangunan awal terminal kontena WP2 syarikat sebanyak RM12.6 bilion,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, kesesakan pelabuhan serantau telah reda, tetapi menonjolkan saling keterhubungan hab penghantaran kontena Asia Tenggara seperti Pelabuhan Klang dan Singapura.

“Ini menggariskan kepentingan mempunyai banyak pelabuhan untuk mengendalikan perdagangan serantau yang semakin meningkat kerana kerjasama ini untuk memastikan ketahanan dan kebolehpercayaan rantai bekalan serantau dan global secara keseluruhan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Ruben Emir berkata, Westports yang akan meraikan ulang tahun ke-30 pada September ini, sudah bersedia untuk tahun ke-31 operasinya dengan memulakan program pengembangan terminal kontena Westports 2.

“Apabila siap, Westports 2 dijangka hampir menggandakan kapasiti pengendalian kontena sedia ada sebanyak 14 juta TEU kepada 28 juta TEU.

“Kami komited untuk melabur dan mengekalkan Pelabuhan Klang sebagai antara hab mega perkapalan terbesar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN