ViewQwest perkenal perkhidmatan jalur lebar tetap 10Gbps pertama di Malaysia - Utusan Malaysia

ViewQwest perkenal perkhidmatan jalur lebar tetap 10Gbps pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ViewQwest memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar tetap 10Gbps pertama di Malaysia, menawarkan pengalaman untuk berketersambungan berkelajuan tinggi dan inovasi digital.

Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif ViewQwest, Vignesa Moorthy berkata, ViewQwest menyediakan internet 10Gbps kepada perniagaan dan kediaman di Malaysia.

“Teknologi harus berfungsi sebagai alat untuk meningkatkan keupayaan logik masyarakat sementara keselamatan siber memastikan orang ramai berasa selamat dan terus berhubung.

“Kami memberi takrifan semula kepada piawaian kesalinghubungan dan memperkukuh komitmen kami untuk menyokong masa hadapan digital negara ini.

“Selain itu, pengunjung di acara pameran tertutup ini berpeluang mengalami pelbagai demonstrasi interaktif yang dicipta untuk mempamerkan kelajuan dan kebolehpercayaan perkhidmatan 10Gbps,” katanya semasa majlis memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar tetap 10Gbps pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Jelas beliau, demonstrasi 10G Speedtest itu menyerlahkan potensi sebenar internet 10Gbps, membawa pengunjung untuk mengalami muat turun dan muat naik sepantas kilat yang dikuasakan oleh teknologi Ethemet yang canggih.

“Kuasa standard Wi-Fi terkini, Wi-Fi 7 yang menonjolkan ciri-ciri seperti kelajuan ultra pantas, kependaman rendah, dan kapasiti meningkat turut dipamerkan yang sesuai untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat dalam kehidupan kita yang bersalinghubung,” katanya.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut merasmikan acara itu berkata, acara ini merupakan bukti kepada infrastruktur internet Malaysia yang pantas dan boleh dipercayai, yang akan memberi impak besar kepada masa depan digital Malaysia.

“Internet berkelajuan ultra akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi merentasi semua industri seperti e-dagang, pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan, bahkan perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, setakat akhir Mei 2024, rangkaian generasi kelima (5G) Malaysia yang memenangi anugerah, yang diketuai oleh Digital Nasional Bhd. (DNB), menunjukkan liputan sebanyak 81.7 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara dengan 14.2 juta langganan perkhidmatan 5G.

“Kadar penerimaan digital yang mengagumkan sebanyak 41.5 peratus dalam masa kurang dari tiga tahun ini telah secara tidak langsung menyediakan rakyat Malaysia dengan pembangunan bakat dan kepercayaan digital melalui pembinaan infrastruktur sedemikian.

“Untuk menyokong dan menguruskan internet berkelajuan ultra, perlu ada latihan untuk pasukan sokongan teknikal profesional dan pakar yang mampu menangani kemungkinan penyalahgunaan keselamatan siber,” katanya.

Tambah Gobind, kerajaan Madani komited untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat di Malaysia, dengan Akta Keselamatan Siber telah diluluskan di Parlimen pada bulan April.

“Pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDP) 2010 telah diluluskan semalam di Dewan Rakyat untuk memperbaiki peruntukan berkaitan pemprosesan data peribadi selaras dengan piawaian dan amalan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya