Untung bersih Johor Plantations melonjak 111.5 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih Johor Plantations melonjak 111.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Plantations Group Bhd. mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM49.5 juta, melonjak 111.5 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 berbanding RM23.4 juta dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat 17 peratus kepada RM294.9 juta berbanding RM252 juta pada tahun lalu.

“Keuntungan itu didorong peningkatan 20.8 peratus jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 62,925 tan pada suku dalam tinjauan berbanding 52,090 tan pada suku pertama 2023.

“Selain itu, jumlah pengeluaran isirung sawit juga meningkat 7.6 peratus kepada 15.873 tan pada suku pertama 2024 berbanding 14,749 tan pada suku sama tahun sebelum.

“Harga jualan turut mengalami peningkatan sebanyak 4.8 peratus tetapi sebahagiannya diimbangi penurunan 1.9 peratus dalam harga jualan MSM pada suku pertama 2024 dan kos pembajaan yang lebih rendah pada suku berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara tu, Pengarah Urusan Johor Plantations Group, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, pertumbuhan itu dipacu kejayaan mereka memaksimumkan kecekapan operasi, meningkatkan pendigitalan dan mekanisasi dalam proses pengeluaran serta pelaksanaan kawalan kos.

“Tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian akan datang di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 Julai ini juga merupakan peristiwa penting kepada perkembangan kumpulan bagi memacu pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan.

“Melangkah ke hadapan, kumpulan komited dengan misi menghasilkan keperluan mampan sambil mematuhi prinsip ketelusan dan kebolehkesanan yang ketat,” katanya.

“Berikutan penyenaraian itu kami akan memberi fokus meningkatkan perniagaan teras sebagai pengeluar kelapa sawit bersepadu sepenuhnya dalam pelan hala tuju pertumbuhan perniagaan.

“Kumpulan juga akan memanfaatkan kedudukan kukuhnya dalam segmen huluan untuk berkembang ke dalam perniagaan hiliran-langkah strategik yang baru-baru ini dimulakan melalui usaha sama dengan syarikat berpangkalan di Jepun, Fuji Oil Asia Pte. Ltd.,” ujarnya.

Jelasnya, kumpulan komited menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi mengekalkan kehadiran dalam pasaran minyak sawit antarabangsa dan memacu impak mampan dalam sektor perniagaan tani tempatan.

“Semua unit kumpulan itu diperakui oleh Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pensijilan meja bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang diiktiraf di peringkat global dengan tumpuan penuh kepada kualiti serta kemampanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya