Untung bersih JCorp susut 50 peratus kesan peningkatan kos, cukai lebih besar - Utusan Malaysia

Untung bersih JCorp susut 50 peratus kesan peningkatan kos, cukai lebih besar

KFC di bawah kendalian JCorp terkesan akibat aktiviti boikot sebagai tindak balas kekejaman Israel di Gaza. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Johor Corporation (JCorp) susut sehingga 50 peratus kepada RM378 juta pada tahun kewangan 2023 daripada RM808 juta yang direkodkan tahun sebelumnya, berikutan prestasi yang lebih rendah daripada jangkaan bagi segmen makanan dan restoran, kos kewangan yang meningkat daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta perbelanjaan cukai yang lebih besar pada tahun tersebut.

JCorp mengendalikan lebih 850 KFC di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja serta lebih 500 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura melalui QSR Brands.

Syarikat milik kerajaan negeri Johor itu berkata, segmen makanan dan restoran JCorp menghadapi cabaran besar dalam tempoh tiga bulan terakhir 2023, dengan hasil merosot akibat konflik yang semakin meningkat di Gaza.

“Kemerosotan mendadak ini menghapuskan keuntungan yang diperoleh pada awal tahun, menghasilkan pertumbuhan keseluruhan satu peratus dalam hasil untuk sejumlah RM4.9 bilion,” demikian menurut kenyataan.

“Konflik itu memberi kesan teruk kepada sentimen dan perbelanjaan pengguna, terutamanya dalam pasaran utama kumpulan yang membawa kepada penurunan dalam keuntungan bersih bagi segmen tersebut,” demikian menurut kenyataan.

Dalam pada itu, kumpulan menunjukkan prestasi operasi yang membanggakan dan mencapai tahap keuntungan melebihi RM10.8 bilion dalam jumlah aset bersih pada tahun kewangan 2023.

Selain itu, kumpulan turut mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus dalam hasil kepada RM6.2 bilion dan pertumbuhan 9.0 peratus dalam keuntungan kasar kepada RM2.4 bilion.

JCorp berkata, segmen kesejahteraan dan penjagaan kesihatan mencatat lonjakan hasil 17 peratus kepada RM3.4 bilion dan untung bersih sebanyak RM270 juta.

“Ini adalah bukti inisiatif KPJ Healthcare untuk terus menaik taraf dan menambah baik perkhidmatannya.

“Selain itu, bahagian hartanah dan infrastruktur meraih keputusan yang membanggakan, didorong penjualan tanah yang strategik dan permintaan kukuh untuk pembangunan premium kami.

“Kami memanfaatkan pusat data yang semakin berkembang dan sektor tenaga boleh diperbaharui di Johor, secara aktif mengejar peluang merentasi rantaian nilai melalui anak syarikat kami, JLand Group,” katanya.

Bagi segmen perniagaan taninya, JCorp berkata, segmen itu mencapai pendapatan RM1.3 bilion, turun 27 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Penurunan ini sebahagian besarnya didorong oleh faktor luaran yang menjejaskan industri minyak sawit secara keseluruhan, termasuk kemerosotan dalam Minyak Sawit Mentah (MSM) dan jumlah jualan Isirung Sawit (PK), serta penurunan harga jualan purata (ASP) dan cuaca buruk,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, JCorp komited terhadap pertumbuhan dan pembangunan berterusan Johor.

“Dengan projek infrastruktur utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru ke Singapura dan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), rantau ini bersedia untuk pengembangan ekonomi yang ketara.

“JCorp berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini, memanfaatkan kepelbagaian portfolio dan kepakaran industrinya untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya