Triumph Scrambler 400 - Motosikal import mampu milik? - Utusan Malaysia

Triumph Scrambler 400 – Motosikal import mampu milik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN motosikal tempatan semakin meriah tahun ini. Selain tumpuan pembuat dan pembekal motosikal dunia kini lebih tertumpu kepada pasaran Asia Tenggara, penghasilan motosikal berkuasa sederhana kini semakin menjadi trend.

Jenama-jenama motosikal sama ada dari Austria, United Kingdom mahupun Italy sudah mula mengorak langkah untuk menghasilkan motosikal berkapasiti pertengahan. Sekiranya tidak lama dahulu, kebanyakan motosikal mereka berkapasiti 1000cc dan seumpamanya, kini rata-rata mereka telah menghasilkan motosikal berkuasa 400cc atau 450cc.

Pembuat dan pembekal motosikal dari Eropah mendapati, peminat dan pemilik motosikal di Asia Pasifik atau Asia Tenggara tidak begitu meminati motosikal dengan kapasiti enjin yang besar. Ini dipengaruhi oleh faktor harga motosikal berkuasa tinggi yang begitu mahal dan kos pengendaliannya juga tinggi kerana ia diimport dari Eropah sepenuhnya.

Maka sebagai langkah pemasaran yang efektif, kerjasama dengan pembuat motosikal dari Asia telah menjayakan projek ini dan telah mula diperhebatkan sejak lima tahun lalu.

REKA BENTUK FIZIKAL
Sebenarnya, Triumph mengeluarkan dua model untuk motosikal berkapasiti 400cc ini. Untuk kali ini, kita perkenalkan dahulu Triumph Scrambler 400.

Triumph sememangnya mengekalkan konsep motosikal retro atau klasik pada setiap model jualannya, kecuali Speed Triple, Daytona dan Tiger. Begitu juga konsep untuk jentera 400 yang terbaharu ini.

Scrambler 400 merupakan sebuah rekaan motosikal lasak yang agak retro, yang sebenarnya popular dalam kalangan peminat motosikal tempatan.

Triumph menyasarkan bahawa keperluan untuk motosikal dengan kapasiti enjin yang agak berkuasa pada penghantaran prestasinya, tetapi mempunyai buatan yang solid seperti model-model mereka.

Scrambler 400 mempunyai pelana yang tinggi iaitu 835 milimeter, sekali gus menyebabkan penunggang yang berketinggian di bawah bawah 167 sentimeter perlu menjengket untuk mengemudi jentera ini.

Dari segi reka bentuknya, ia seolah menuruti konsep dan rekaan Triumph Scrambler 1200, dan turut meneruskan estetika scrambler retro ini. Dari pengamatan mata kasar, hanya jalur ekzosnya tidak menggunakan rekaan 1200. Bagi anda yang mungkin tidak mengetahui konsep ikonik motosikal Scrambler retro (konsep ini dikongsi juga dengan Ducati yang mempunyai model yang hampir sama), Scrambler Retro menggunakan jaluran ekzos ke belakang dalam posisi yang tinggi.

Tinggi bermaksud ia berada di bawah kedudukan paha kanan penunggangnya. Bagi yang tidak biasa mengenai konsep seumpama ini, mungkin merasakan akan membuat penunggang dan pembonceng tidak selesa akibat kepanasan jalur ekzos yang berada di bawah paha kanan.

Namun, inilah konsep scrambler retro yang diperkenalkan dari Eropah, dan mungkin atas faktor ini, memandangkan model-model Triumph 400cc ini ingin diperkenalkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan Triumph atau model-model retro. Maka, Triumph mengambil keputusan untuk tidak menggunakan jalur ekzos yang tinggi, tetapi masih menaikkan perendam bunyinya (muffler) ke atas serta penggunaan jenis berkembar.

Dari segi fizikal atau kosmetik Triumph 400 yang lain, ia saling tidak tumpah seperti scrambler-scrambler retro yang popular di barat. Penggunaan penyerap hentakan jenis terbalik dan berwarna keemasan ternyata menjadi faktor yang menarik perhatian mata anda.

Walaupun ia berkonsepkan retro, namun penggunaan teknologi terkini tetap diberi keutamaan terutama dari segi keselamatan dan kestabilan tunggangan.

Namun, penggunaan bar pemegang yang rendah menghairankan saya kerana ia seperti tidak mengikuti konsep pemegang scrambler yang selalunya tinggi, namun, span penghias tetap ada seperti kebanyakan pemegang motosikal scrambler untuk tidak terlalu jauh lari dari estetika scrambler.

Sementara merenung bahagian pemegangnya, kita juga bakal melihat gabungan rekaan klasik dan moden pada meternya. Akan tetapi saya merasakan adalah lebih menarik sekiranya RPM disediakan dalam bentuk analog (penunjuk jarum fizikal) dan kadar kelajuan dalam bentuk digital. Namun untuk Scrambler 400 ini, ia adalah yang sebaliknya. Saya memerlukan beberapa hari untuk membiasakan konsep Scrambler 400 ini yang menggunakan meter analog untuk penunjuk kelajuan dan digital untuk kadar RPM.

Beralih kepada tangki bahan apinya yang agak menonjol (mempamerkan kebanyakan daripada skim warnanya yang berbeza-beza), ia hanya bersaiz 13 liter. Mungkin untuk tidak menjadikannya berat ketika pengendalian di kelajuan rendah atau ketika tangki minyak yang penuh, Triumph menggunakan tangki bersaiz demikian.

Penggunaan enjin silinder tunggal, empat injap, DOHC dan dibantu dengan penyejukan cecair, berkapasiti 398.15cc, memacu 39.5hp pada kadar RPM 8,000. Sementara Tork maksimumnya 27.7 ft lb pada kadar RPM 6,500.

PENGENDALIAN
Agak terperinci penerangan saya tentang reka bentuk Scrambler 400 ini kerana bagi saya, prestasi enjin bukan menjadi satu ukuran utama untuk motosikal berkonsep retro.

Begitu pun, menunggang Scrambler 400 pada kelajuan yang rendah atau ketika berhenti di lampu isyarat, sangat menarik perhatian umum. Ramai terperanjat apabila saya mendedahkan kapasiti enjinnya yang hanya 400cc kerana saiznya yang agak besar.

Menunggang secara agresif pada jalan-jalan persekutuan lama yang berliku-liku sangat mengujakan. Suspensi hadapannya menyerap hentakan dan permukaan jalan raya yang beralunatau berlapis. Akan tetapi, ia tidak terlalu lembut sehingga pengemudiannya terjejas, namun tidak terlalu keras sehingga menyakitkan pergelangan dan bahu penunggangnya.

Cuma penyerap hentakan tunggal belakangnya sedikit lemah apabila kurang kenyal dan sedikit lemah dalam melonjakkan kembali springnya. Mungkin pertukaran pada suspensi yang lebih baik patut diambil kira.

Dari segi kekuatan enjinnya pula, walaupun hanya 400cc, namun cukup kuat untuk melalui laluan berbukit bukau dan ‘offroad’ ringan. Anda perlu pandai memadankan kedudukan gearnya pada keperluan yang sepatutnya.
Bunyi yang keluar daripada corong ekzosnya juga saya agak gemari.

KESIMPULAN
Anda boleh berfikir untuk membeli motosikal ini sekiranya anda mahukan motosikal yang unik, pembuatan jitu dan teguh, menarik perhatian serta menepati jiwa anda yang lain dari yang lain. Anda perlu menyaksikan sendiri Triumph Scrambler 400 ini dari dekat dan mohon untuk mencubanya.

Harga yang ditawarkan RM29,900 sebelum cukai jalan, insurans dan pendaftaran, sangatlah mampu milik dan kualiti pembuatannya tidak akan terasa seperti sebuah motosikal bollywood tetapi lebih kepada motosikal British seumpama nama dan asal usulnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya