PETALING JAYA: Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana ( PMKS) mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM613.1 bilion atau 39.1 peratus daripada KDNK negara.
Pertumbuhan PMKS juga mengatasi KDNK Malaysia iaitu 3.6 peratus pada 2023.
Sebagai perbandingan, KDNK PMKS melonjak 12.3 peratus pada 2022 dengan nilai ditambah sebanyak RM584.1 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama yang merangkumi 84.8 peratus daripada KDNK PMKS.
Katanya, sektor pertanian menyumbang 9.1 peratus kepada KDNK PMKS, diikuti sektor pembinaan (4.5 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (0.5 peratus).
“Sektor perkhidmatan meningkat 6.5 peratus pada 2023 berbanding 17.2 peratus pada tahun sebelumnya.
“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam subsektor utama, iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan (5.7 peratus); kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.3 peratus); dan pengangkutan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi (10.6 peratus).
“Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 1.5 peratus (2022: 6.0 peratus) dan dipengaruhi oleh pertumbuhan positif dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (5.0 peratus); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.3 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, guna tenaga PMKS pula terus mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2022, untuk merekodkan sejumlah 7.86 juta orang (2022: 7.59 juta orang).
“Sehubungan itu, sumbangan guna tenaga PMKS kepada guna tenaga Malaysia pada tahun 2023 adalah 48.5 peratus, meningkat 0.3 mata peratus berbanding tahun sebelumnya (2022: 48.2 peratus).
“Mengikut aktiviti ekonomi, guna tenaga PMKS dalam sektor Pertanian menyumbang 42.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga dalam sektor ini, meningkat 1.0 peratus kepada 795 ribu orang pada tahun 2023,” katanya.
Mohd. Uzir mengulas, produktiviti buruh PMKS pada 2023 yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja meningkat 1.5 peratus untuk mencatatkan nilai produktiviti sebanyak RM78,035 per pekerja (2022: RM76,919 per pekerja).
“Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh PMKS direkodkan oleh sektor Pembinaan (4.9 peratus) diikuti sektor Perlombongan & pengkuarian (4.8 peratus), Perkhidmatan (1.9 peratus) dan pertanian (0.3 peratus) manakala, produktiviti buruh PMKS dalam sektor Pembuatan mencatatkan pertumbuhan negatif 0.9 peratus berbanding peningkatan 2.9 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN