PETALING JAYA: Southpoint, fasiliti pelabuhan di Pelabuhan Klang kendalian Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC, mencatat rekod bulanan baharu dengan mengendalikan sejumlah 297,337 metrik tan (MT) kargo iaitu pertumbuhan ketara sebanyak 59.1 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Southpoint dalam kenyataan berkata, prestasi ini melepasi rekod sebelumnya iaitu sebanyak 289,826 MT yang direkodkan pada Ogos 2001.
Pencapaian tersebut disumbangkan oleh peningkatan ketara dalam pengendalian kargo pukal kering yang telah mencatatkan kendalian sebanyak 147,545 MT pada Mei 2024 meningkat sebanyak 105.8 preratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Sementara itu, segmen kargo pukal cair dan pukal turut mencatatkan pertumbuhan positif dengan masing-masing meningkat sebanyak 42.1 peratus dan 7.3 peratus berbanding Mei 2023.
Dari segi jenis kargo, bahan biojisim, khususnya tempurung kelapa sawit telah mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 84,415 MT, meningkat sebanyak 193 peratus berbanding Mei tahun lalu.
Jenis kargo lain yang mencatatkan pengendalian tinggi termasuk minyak sawit dengan 76,469 MT dan arang batu dengan 63,130 MT, masing-masing meningkat sebanyak 47 peratus dan 47.2 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pencapaian cemerlang Southpoint adalah bukti komitmen mereka dalam meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan perkhidmatannya.
“Peningkatan ketara jumlah pengendalian kargo, terutamanya dalam segmen pukal kering, menyerlahkan keberkesanan inisiatif strategik kami, termasuk penubuhan Hab Logistik Biojisim di Southpoint.
“Sejak pengambilalihan Northport oleh MMC Corporation Berhad pada Januari 2016, melalui anak syarikat milik penuhnya MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports), syarikat telah memulakan inisiatif ‘Reinventing Northport’,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik ini, syarikat telah mengorak langkah besar dengan menubuhkan Hab Logistik Biojisim di Southpoint pada April 2018, iaitu sebuah inisiatif strategik untuk meningkatkan industri biojisim sambil mengukuhkan penjagaan alam sekitar di Malaysia.
Hab itu merangkumi strategi komprehensif bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan memupuk kerjasama industri.
Jelas Azman Shah, bermula dengan hanya tiga pemain industri utama, iaitu Tien Chung, ES Ng Holding dan Tropical Timber, Southpoint telah menyaksikan pertumbuhan kendalian bahan biojisim yang ketara, dengan jumlah kendalian meningkat daripada 16,551 MT pada 2015 kepada 464,013 MT pada 2023.
“Penyumbang penting kepada lonjakan ini termasuk pemain industri seperti Ovol New Energy Sdn. Bhd. dan Bio Eneco Sdn. Bhd. yang mengeksport bahan biojisim terutamanya ke Jepun dan Thailand.
“Pertumbuhan dalam pengendalian biojisim mencerminkan kejayaan Southpoint memanfaatkan industri biojisim yang sedang berkembang, serta memacu kelestarian alam sekitar dan kemampanan ekonomi di rantau ini,” katanya. – UTUSAN