KUALA LUMPUR: smart Malaysia melancarkan portfolio produk terbarunya, smart #3 melibatkan tiga varian iaitu Pro, Premium dan model utama Brabus pada harga masing-masing RM175,000, RM215,000, RM255,000 di atas jalan tanpa insurans.
smart #3 merupakan tambahan terkini dalam keluarga smart yang terkenal dengan reka bentuk luaran coupe yang bergaya dan ruang dalaman yang canggih.
Direka dengan kepakaran Mercedes-Benz, smart #3 menggabungkan fungsi dengan keunggulan, menawarkan pengalaman pemanduan yang hebat.
Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang berkata, smart #3 mempunyai potensi yang besar dalam segmen premium.
“Kami mahu menggalakkan lebih banyak pembangunan bersama untuk meningkatkan nilai kualiti jenama yang kami hargai, sekali gus mencipta komuniti yang kuat kepada jenama smart.
“Matlamat kami adalah untuk terus menyediakan pengalaman memiliki smart premium yang terbaik, termasuk perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang dengan alat ganti mudah didapati, peta pengecasan awam yang diintegrasi dan ekosistem digital yang lancar,” katanya pada jerayawara jenama smart di Pavilion Bukit Jalil di sini, semalam.
Menurutnya, varian smart #3 Pro dilengkapi dengan roda Flux 19 inci yang mempunyai rintangan angin yang rendah dan reka bentuk rivet tempat duduk yang pertama dalam industri dengan penyandar kepala yang menampilkan logo smart.
“Ia dikuasakan oleh bateri LFP 49 kilowatt per jam (kWh), menyediakan julat WLTP sejauh 325 kilometer (km). Varian smart #3 Premium menawarkan ciri tambahan termasuk lampu hadapan CyberSparksLED + Matrix, gril hadapan berlampu dan bateri NCM 66kWh.
“Bateri ini menggerakkan motor 200kW/343Nm yang memacu roda belakang, mencapai pecutan 0-100 kilometer sejam (km/)j dalam masa 5.8 saat dan memberikan julat WLTP sejauh 455km dengan keupayaan pengecasan AC dan DC yang terbaik iaitu 22kW yang cemerlang dalam segmennya,” ujarnya.
Pengecas AC boleh mengecas bateri anda dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang daripada tiga jam, dengan tiga tahap brek regeneratif baharu iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
Jelasnya, ia disokong oleh 23 sensor berketepatan tinggi yang membolehkan 21 fungsi ADAS berfungsi dengan baik.
“Varian smart #3 Brabus direka untuk penggemar kenderaan berprestasi tinggi dengan masa pecutan 0-100km/j dalam 3.7 saat.
“Prestasi ini disampaikan melalui rangkaian kuasa dual-motor All-Wheel-Drive 315kW/543Nm, menawarkan pengendalian yang luar biasa, daya tarikan dan julat WLTP yang praktikal sejauh 415 km,” ujarnya.
smart #3 menampilkan 12 kombinasi warna luaran iaitu biru Electron Matte, krim Ceramic, orange Photon, hitam Meta, perak Cyber, kelabu Atom Matte dengan bumbung merah, putih Digital, biru Quantum, kelabu Atom Mattte, hijau Future, putih Digital dengan bumbung hitam dan hitam Meta dengan bumbung merah. – UTUSAN