PETALING JAYA: Sime Darby Property dan GSPARX Sdn. Bhd., anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan usaha sama untuk mempromosikan inisiatif kelestarian tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini.
Kerjasama ini akan memanfaatkan portfolio luas aset dan pembangunan Sime Darby Property, bersama-sama dengan rekod prestasi terbukti GSPARX dalam menyampaikan projek solar atas bumbung.
Ia akan menumpukan pada pembiayaan, pembangunan dan pengendalian projek penjanaan suria atas bumbung di seluruh portfolio aset dan perbandaran Sime Darby Property.
Sehingga kini, sebanyak 14 aset telah dikenal pasti, dengan potensi menjana sehingga 4.5 megawatt (MW) kapasiti solar, menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau.
Usaha sama itu bertujuan untuk mengembangkan kapasiti solarnya kepada 20 MW dalam tempoh lima tahun dan 50 MW dalam tempoh 15 tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, perubahan iklim adalah salah satu cabaran global terbesar.
“Sebagai pemaju hartanah perintis negara, pihaknya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengambil tindakan yang perlu untuk meminimumkan kesan dan pelepasan operasi.
“Inisiatif suria atas bumbung adalah salah satu strategi jangka pendek Sime Darby Property untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan Skop 1 dan 2 menjelang 2030 apabila syarikat beralih kepada sumber TBB untuk menjana tenaga operasi dan membekalkannya kepada pelanggan komersial, perindustrian dan kediaman di dalam perbandaran kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri berkata, perkongsian dengan Sime Darby Property membolehkan pihaknya mengembangkan jejak dalam sektor suria atas bumbung, sejajar dengan misi menyediakan penyelesaian tenaga mampan.
“Usaha sama ini merupakan langkah penting ke arah mencapai sasaran TBB kerajaan dan menunjukkan dedikasi kami untuk memajukan landskap tenaga hijau Malaysia,” ujarnya.
Dengan memilih produk Sime Darby Property, pelanggan menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk mencapai 70 peratus penjanaan TBB menjelang 2050.
Hartanah dengan penyelesaian TBB mampan semakin dicari, meningkatkan nilai hartanah dan memberikan pulangan pelaburan yang tinggi.
Kerjasama antara Sime Darby Property dan GSPARX memastikan perkhidmatan terbaik dan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, dengan GSPARX menyediakan khidmat nasihat teknikal, perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan berterusan untuk pemasangan solar atas bumbung. – UTUSAN