Sime Darby penerima manfaat utama penggunaan EV - Utusan Malaysia

Sime Darby penerima manfaat utama penggunaan EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Bhd. dijangka menjadi penerima utama penggunaan kenderaan elektrik (EV) atau kereta hibrid yang semakin meningkat.

Sime Darby mempunyai barisan komprehensif EV hibrid merentasi spektrum jenama daripada segmen premium dengan BMW dan Porsche, peringkat pertengahan dengan BYD dan Toyota.

Firma CGS International Research (CGSI Research) berkata, inisiatif pembaharuan kerajaan boleh mempercepatkan penggunaan EV, walaupun permulaan rasionalisasi subsidi bahan api baru-baru ini boleh menjadi halangan kepada jumlah jualan kenderaan.

“Kami berpendapat kesan rasionalisasi subsidi bahan api ke atas jenama pasaran besar-besaran seperti Perodua akan agak lemah kerana majoriti asas pelanggan sasarannya berkemungkinan masih layak menerima subsidi.

“Bagaimanapun, jualan kenderaan telah meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada 328,901 unit dalam tempoh lima bulan pertama 2024.

“Kami juga mengunjurkan jumlah volum di Malaysia mencecah 780,000 unit untuk 2024, turun daripada 800,000 pada 2023,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, firma penyelidikan itu turut menjangkakan volum untuk 2025 hingga 2026 pada 15 peratus melebihi purata pra-COVID (2007-2019) iaitu 650,000 hingga 700,000 unit setahun.

“Anggaran jumlah volum kami adalah berdasarkan persekitaran perbelanjaan pengguna Malaysia yang teguh, dan kenaikan gaji untuk kakitangan awam dan graduan baharu yang akan membantu menyokong jualan kereta baharu di Malaysia.

“Pasaran kereta China terus kekal mencabar dan kami berpendapat persaingan harga tidak mungkin berkurangan dalam jangka terdekat hingga sederhana,” katanya.

CGSI Research juga mengulangi penarafan “tambah” pada Sime Daby dengan harga sasaran yang lebih tinggi sebanyak RM3.22.

“Segmen industri Sime Daby akan terus berkembang didorong oleh projek infrastruktur dan pusat data yang mantap di Malaysia.

“Kami juga yakin projek infrastruktur mega serta pusat data akan datang akan menyokong pesanan industri dan mengimbangi sebahagian permintaan yang lebih rendah daripada industri perlombongan Australia,” katanya.

Dalam pada itu, CGSI Research mengunjurkan hasil perindustrian Sime Darby mencatatkan pertumbuhan sihat 17.5 peratus y-o-y pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) sebelum berubah pada FY25 dan FY26.

“Keuntungan sebelum faedah dan margin cukai bahagian itu turut dijangka berkembang pada FY24 kepada tujuh peratus sebelum menurun kepada paras 6.5 peratus hingga 6.6 peratus pada FY25 dan FY26,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya