GENTING HIGHLANDS: Shell Recharge melancarkan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) terbesar di altitud tertinggi Malaysia di Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang dengan pengecasan berprestasi tinggi (HPC) berkuasa tinggi 360 kilowatt (kW).
Terdapat 10 ruang pengecasan yang terdiri daripada empat ruang yang dilengkapi dengan pengecas berprestasi tinggi 360kW dan enam ruang pusat pengecas arus ulang alik (AC) 22kW.
Pelancaran hab pengecasan itu menandakan kerjasama strategik Shell Recharge dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad seterusnya menunjukkan komitmen berterusan untuk menjadi pemboleh utama ketersambungan e-mobiliti.
Pengurus Besar Shell Mobiliti Malaysia, Seow Lee Ming berkata, syarikat akan mengembangkan hab pengecasan berprestasi tinggi di sepanjang koridor Lebuhraya Pantai Timur dalam masa terdekat.
“Hab pengecasan akan memberi kemudahan kepada pengguna EV di lebuh raya tersebut terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
“Kami akan membuat pengumuman mengenai itu (hab pengecasan tersebut) dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Pelancaran Hab Pengecas EV Berprestasi Tinggi di Resort World Genting, di sini semalam.
Lee Ming berkata, hab tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha Shell untuk membina sambungan pengecasan EV di negara ini.
“Dua tahun lalu, kami melancarkan Shell Recharge HPC pertama kami di stesen pengecas Tangkak, Johor yang diikuti dengan pengumuman penyiapan tujuh lokasi pengecasan HPC di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan lapan bulan kemudian.
“Sebanyak 22 hab pengecasan HPC di 11 lokasi sepanjang lebuh raya Malaysia, selain penyelesaian Shell Recharge berkembang merentasi sempadan menghubungkan Thailand, Malaysia dan Singapura dengan salah satu laluan EV terpanjang di Asia Tenggara,” katanya.
Tambahnya, kerjasama tersebut mengukuhkan lagi komitmen pihaknya dalam mengembangkan penyelesaian e-mobiliti inovatif di seluruh negara dengan menyediakan kelajuan terjamin, julat dan ketersambungan untuk pemandu EV.
Sempena majlis pelancaran hab pengecasan berprestasi tinggi EV terbesar pertama di altitud tertinggi di Malaysia, Shell Recharge turut membawa 16 pengamal media mengikuti konvoi Porsche Taycan EV ke Resort World Genting.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, mewakili Porsche Malaysia, Christopher Hunter berkata, pihaknya berbesar hati untuk maju kehadapan sekali lagi dengan Shell Malaysia dan Genting Malaysia bagi membolehkan pengecasan kuasa tinggi 360kW buat kali pertama dalam negara.
“Dengan Taycan terbaharu kami, cas semula 10 hingga 80 peratus State of Charge (SoC) kini boleh dilakukan dalam kira-kira 18 minit menggunakan pengecas DC 360kW berkuasa tinggi Shell Recharge,” katanya. – UTUSAN