Semakan semula WPL bantu harga minyak sawit negara kekal kompetitif - Utusan Malaysia

Semakan semula WPL bantu harga minyak sawit negara kekal kompetitif

24 - Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melawat reruai pameran pada Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB ke-30, di Hotel Tenera, Bangi, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara-negara pengeluar lain sekiranya levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya akan meneliti dan menyemak semula WPL seterusnya keputusan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kita beri MOF teliti perkara itu terlebih dahulu. Perkara ini juga secara tidak langsung boleh menggalakkan penanaman semula apabila produk ini menjadi kompetitif, justeru lebih ramai akan datang dan melabur pada tanah yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan MPOB TECH sebagai cap dagangan berdaftar untuk memperkasa teknologi MPOB yang dikomersialkan.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Johari berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi semakan semula WPL ke atas minyak sawit di negara ini dalam pembentangan Belanjawan 2025, seiring dengan harga semasa komoditi itu.

“Dulu (sebelum ini) kos mengeluarkan satu tan metrik minyak sawit lebih kurang RM1,800 tetapi sekarang boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,200, bergantung pada saiznya.

“Kos yang kita gunakan pada RM1,800 mungkin sesuai guna WPL, tapi sekarang tidak lagi apabila dagangan pasaran kira-kira RM3,800 hingga RM3,900 dengan kos melebih RM3,000,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata, penggiat industri perlu aktif dalam mengguna pakai teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran bagi memastikan industri sawit Malaysia dapat kekal berdaya saing dan relevan seiring dengan perubahan global.

“Keuntungan diraih haruslah dilabur semula supaya industri sawit Malaysia secara keseluruhan menjadi bertambah maju.

“Malaysia mempunyai 5.7 juta hektar tanah untuk menghasilkan kelapa sawit dan kita eksport lebih kurang 15 juta ton.

“Jadi, sudah tentu jika kita banyak buat penyelidikan dan pembangunan (R&D), lebih banyak produk kelapa sawit boleh dihasilkan untuk aktiviti hiliran atau produk hiliran seperti produk gris gred makanan terbiodegradasi berasaskan sawit,” katanya.

Dalam program sama, MPOB memperkenalkan enam teknologi baharu dalam TOT MPOB 2024 bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi inovatif sawit.

Enam teknologi baharu itu ialah baka tanaman baharu Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) dan Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio.

Selain itu, Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit, Cecair Pencuci Gred-industri, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak, serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit yang juga dikira sebagai inovasi baharu.

Perkhidmatan baharu yang ditawarkan untuk pengkomersialan pula adalah khidmat kawalan perosak sawit dan tikus secara biologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya