Selangor catat pertumbuhan KDNK tertinggi pada 2023 - Utusan Malaysia

Selangor catat pertumbuhan KDNK tertinggi pada 2023

PRN Masjid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi berbanding negeri lain tahun lalu pada kadar 5.4 peratus, menyumbang RM406.1 bilion atau 25.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebanyak empat negeri yang merekodkan pertumbuhan melepasi paras nasional iaitu 3.6 peratus pada 2023, termasuk Pahang pada 5.2 peratus, Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama, menyumbang 67.7 peratus kepada ekonomi Malaysia.

“Prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan. Bagi Selangor dan Johor, sektor perkhidmatan berkembang masing-masing 6.1 peratus dan 5.4 peratus didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.

“Bagi Pahang pula, pengembangan sektor ini sebanyak 6.0 peratus disokong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan,” katanya sewaktu membentangkan laporan KDNK Mengikut Negeri, 2023 secara maya semalam.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6 peratus pada 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM1.6 trilion, dengan sektor perkhidmatan kekal mendominasi ekonomi negara menerusi sumbangan 59.2 peratus, meningkat 5.1 peratus berbanding 2022.

Nilai KDNK per kapita nasional pada 2023 adalah RM54,612.

Bagi prestasi mengikut negeri, lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur pada RM131,038, Labuan (RM83,596), Pulau Pinang (RM72,586), Sarawak (RM72,411) dan Selangor (RM62,492).

Menurut Mohd. Uzirn, prospek ekonomi Malaysia bagi 2024 berdasarkan Indeks Pelopor dari Januari hingga April 2024 memperlihatkan bahawa prestasi ekonomi akan mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan oleh peningkatan dalam semua komponen kecuali import benar semikonduktor.

“Indikator lain seperti keyakinan pengguna, pengeluaran perindustrian dan aliran eksport telah menunjukkan daya tahan serta potensi pertumbuhan, yang mana faktor-faktor ini dijangka menyumbang kepada trajektori stabil bagi ekonomi Malaysia pada tahun akan datang.

“Walau bagaimanapun, cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi global dan ketidakstabilan harga komoditi kekal sebagai faktor penting yang mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Jabatan Perangkaan buat pertama kalinya bakal mengeluarkan KDNK bagi setiap daerah di negara ini pada tahun ini tidak lama lagi.

Ia penting bagi mengukur kedudukan ekonomi bagi setiap daerah selari dengan sambutan 75 tahun DOSM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya