Sektor pinjaman dijangka teruskan momentum pertumbuhan - Utusan Malaysia

Sektor pinjaman dijangka teruskan momentum pertumbuhan

PERTUMBUHAN pinjaman dalam sistem perbankan negara terus meningkat, mengatasi pertumbuhan deposit pada Januari 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan negara akan meneruskan momentum positif disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang berterusan dan menstabilkan margin faedah bersih (NIM), serta potensi pendapatan faedah bersih (NII) yang lebih tinggi.

Kenanga Research berkata, ia turut didorong pertumbuhan pinjaman yang berterusan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang bertambah baik serta pengekalan margin yang lebih baik, sekali gus mengaburkan tekanan industri seperti tekanan inflasi dan ringgit yang lebih lemah.

“Sektor pinjaman kekal menarik berikutan hasil dividen yang memberangsangkan pada 6.0 ke 7.0 peratus pada kebanyakan saham, selain turun naik sektor yang lebih rendah berbanding industri lain.

“Pergerakan harga saham yang ketara telah diperhatikan dengan kemasukan pelabur asing untuk memperoleh saham sektor utama,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, pinjaman bagi sektor perbankan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus pada Mei dan berada dalam julat sasaran 5.5 hingga 6 peratus untuk tahun ini.

Pertumbuhan itu didorong peningkatan 6.5 peratus dalam pinjaman isi rumah, terutama permintaan untuk hartanah kediaman dan kenderaan pengangkutan.

“Pinjaman perniagaan juga menyaksikan pertumbuhan, walaupun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 4.8 peratus, didorong oleh peningkatan keperluan modal kerja, khususnya dalam industri perkhidmatan.

“Dari bulan ke bulan, pinjaman perniagaan kekal stabil, mungkin disebabkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyelesaikan pembayaran balik hutang berikutan peningkatan permintaan pada bulan-bulan sebelumnya semasa musim perayaan manakala pinjaman isi rumah terus berkembang, disokong oleh permintaan berterusan bagi gadai janji dan perjanjian sewa beli.

“Secara keseluruhan, landskap pemberian pinjaman pada Mei 2024 menunjukkan pertumbuhan yang teguh dalam kedua-dua sektor isi rumah dan perniagaan, sejajar dengan unjuran tahunan walaupun turun naik kecil pada asas bulanan,” katanya.

Dalam pada itu, TA Securities berkata, pinjaman untuk pembelian kereta penumpang meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 10.3 peratus pada Mei 2024 berbanding 8.9 peratus pada bulan sama 2023, kata TA Securities.

“Pada bulan itu, jumlah pinjaman pengguna dilihat berkembang 6.6 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, sementara berbanding April 2024, ia berkembang 0.6 peratus.

“Gadai janji kediaman yang menyumbang kira-kira 64 peratus daripada jumlah pinjaman pengguna terus menyokong pertumbuhan dalam segmen pinjaman pengguna, meningkat pada kadar yang lebih kukuh 7.6 peratus.

“Pengeluaran tahunan untuk kad kredit dan pinjaman untuk kegunaan peribadi berkembang masing-masing 8.9 peratus dan 5.0 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya