PETALING JAYA: Aminvestment Bank Berhad mengunjurkan sektor perbankan negara mencatatkan pertumbuhan pinjaman antara 4.0 peratus sehingga 5.0 peratus tahun ini, didorong jangkaan perkembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, pertumbuhan ekonomi domestik pada separuh kedua 2024 disokong oleh kadar pengangguran yang stabil, pemulihan kehadiran pelancong dan eksport daripada pemulihan kitaran teknologi.
“Pasukan ekonomi kami menjangkakan pertumbuhan semikonduktor global berada dalam dua digit rendah pada separuh kedua 2024, manakala pinjaman sistem perbankan domestik meningkat sebanyak 5.8 peratus pada Mei 2024.
“Pada separuh kedua tahun ini, kadar pertumbuhan dijangka berkurangan kerana bank berkemungkinan berdisiplin dalam penetapan harga pinjaman bagi melindungi margin faedah.
“Tahun ini juga, pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) satu digit didorong pertumbuhan sederhana dalam pinjaman dan pemampatan margin faedah bersih (NIM) yang lebih rendah sebanyak 4bps pada 2024 berbanding 17bps pada 2023,” katanya.
Jelasnya, pendapatan bukan faedah (NOII) berkemungkinan menyederhana pada separuh kedua disebabkan kejatuhan dalam pelaburan dan pendapatan perbendaharaan dengan keuntungan direalisasikan daripada portfolio sekuriti yang lebih rendah.
‘Ini disebabkan oleh penolakan atau kelewatan dalam pemotongan kadar dana persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS).
“Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Jun 2024 menyaksikan kadar faedah penanda aras dikekalkan pada 5.25 peratus sehingga 5.5 peratus dengan unjuran pemotongan FFR pada 2024 dipotong kepada satu (25bs) berbanding tiga pada Mac 2024.
“la berbeza dengan jangkaan pasaran bagi dua pemotongan kadar pada September dan Disember 2024 di AS berdasarkan niaga hadapan dana fed dan pertukaran indeks semalaman,” katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, persaingan deposit berterusan dengan kempen berterusan oleh bank dan kadar menarik yang ditawarkan untuk deposit simpanan oleh bank digital.
“Bagaimanapun, tekanan kos pembiayaan dilihat semakin berkurangan dengan kadar deposit tetap (FD) terus menjadi lebih rasional antara 3.6 peratus sehingga 3.8 peratus untuk tempoh enam hingga 12 bulan berbanding kadar pada akhir 2022
“Nisbah CASA sistem perbankan domestik berada pada 29.6 peratus, normal tetapi kekal di atas paras pra pandemik 26.5 peratus pada Disember 2019. Selain itu, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor itu,” katanya. – UTUSAN