PETALING JAYA: Penipu atau ‘scammer’ menunjukkan trend menyasarkan mangsa dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan pendapatan tinggi, menurut Laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 baru-baru ini.
Menurut laporan itu, perbandingan merentasi pembolehubah demografi menunjukkan bahawa responden yang mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi mengalami insiden cubaan ‘scam’ yang lebih banyak.
Katanya, ini berbanding mereka yang hanya berpendidikan sekolah rendah atau menengah dan mereka yang berpendapatan bulanan RM1,000 atau kurang.
Laporan juga mendapati, antara 10,893 responden yang dikaji di seluruh negara, seramai 87 peratus telah menjadi lebih peka kepada ancaman ‘scam’ sejak setahun yang lalu dan mereka boleh menjelaskan pengalaman secara terperinci serta menyatakan jenis scam yang mereka hadapi.
“Sebanyak 73 peratus responden peka kepada risiko perkongsian sosial dan pendedahan data peribadi dan 65 peratus responden menunjukkan mereka akan mengesahkan mana-mana pautan yang diterima sebelum mengkliknya.
“Sementara itu 52 peratus responden akan menapis data peribadi mereka sebelum melakukan sebarang perkongsian.
“Ini menunjukkan bahawa kebanyakan responden melakukan amalan asas untuk melindungi data peribadi mereka,” katanya laporan yang disiarkan oleh CelcomDigi Bhd. tersebut.
Walau bagaimanapun, laporan itu turut mendedahkan bahawa dua pertiga atau 66 peratus daripada responden pernah mengalami cubaan atau situasi ‘scam’.
Jelasnya, cubaan ‘scam’ yang berjumlah 17,912, menunjukkan bahawa seseorang individu boleh menghadapi lebih daripada satu jenis ‘scam’ melalui pelbagai saluran.
Tambahnya, ‘scam’ yang paling banyak atau umum adalah panggilan telefon pada 76 peratus, iaitu ‘scammer’ berpura-pura menjadi wakil atau pegawai dari bank, syarikat telekomunikasi atau jabatan kerajaan.
“Senario cubaan ‘scam’ ini membabitkan individu palsu dengan 31 peratus responden menyatakan ‘scammer’ bertanya mengenai maklumat peribadi mereka dan menakut-nakutkan responden bahawa akaun bank mereka mempunyai masalah.
“Selain itu, ‘scammer’ mengugut responden untuk membuat sejumlah pembayaran (23 peratus) dan menawarkan bantuan kerajaan serta bertanya mengenai maklumat peribadi atau perbankan mereka (23 peratus),” jelasnya. – UTUSAN