SC kemas kini peraturan pelaburan untuk mempengaruh kewangan - Utusan Malaysia

SC kemas kini peraturan pelaburan untuk mempengaruh kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengemas kini Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan (Nota Panduan) berikutan peningkatan populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) yang mempromosikan produk dan perkhidmatan pasaran modal di media sosial, di samping mewujudkan kesedaran awam yang lebih besar.

SC dalam kenyataan berkata, kemas kini itu menjelaskan jangkaan kawal selia SC mengenai perkongsian pempengaruh kewangan tentang pandangan kewangan dan cadangan mereka di media sosial.

Katanya, Matlamat SC adalah untuk menegakkan keseimbangan pengawal seliaan terhadap aktiviti pempengaruh kewangan kerana khidmat nasihat pelaburan merupakan aktiviti terkawal di bawah undang-undang sekuriti.

“Nota Panduan menjelaskan bahawa aktiviti mempromosi produk pasaran modal di platform media sosial mungkin memerlukan lesen daripada SC dalam keadaan tertentu.

“Contohnya, perkongsian cerapan kewangan atau pengesyoran dalam mempromosikan produk pasaran modal tertentu kepada pengikut (followers) dengan jangkaan komisen atau ganjaran lain akan memerlukan lesen,” katanya dalam kenyataan.

Jelas SC, pempengaruh kewangan harus mengambil perhatian bahawa penglibatan diri dalam aktiviti terkawal tanpa lesen merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mengulas lanjut, SC berkata, untuk membimbing pempengaruh kewangan dalam mematuhi CMSA, pihaknya juga telah menerbitkan maklumat grafik dengan soalan lazim dan senarai semak.

“Mereka harus mengesahkan bahawa syarikat yang mereka promosi adalah dilesenkan atau diluluskan oleh SC dengan menggunakan portal semak sebelum labur SC.

“SC, dalam melaksanakan fungsi kawal selianya, memantau pasaran modal secara aktif dan akan terus menangani sebarang perkembangan dan trend dengan, antara lain, mengeluarkan panduan kepada orang ramai.

“Kami akan mengambil tindakan, jika perlu, ke arah memastikan pasaran yang adil dan teratur,” katanya.

Nota Panduan tersebut boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/regulation/guidance-notesand-guiding-principles dan maklumat grafik boleh didapati di https://www.sc.com.my/investor-empowerment/info-on-finfluencer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN