KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan meneruskan perjanjian jual beli (S&P) setelah mendapat kelulusan pengawalseliaan yang diperlukan selepas ditunda semalam.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pihaknya percaya bahawa Affin Bank akan mendapat manfaat daripada rangkaian di Sarawak.
“Ini akan membolehkan (Affin Bank) memanfaatkan keupayaan perbankan pelaburan dan perbendaharaannya,” katanya semasa ucapan beliau di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara negeri Sarawak dan LTAT, di sini semalam.
Selain itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak dan LTAT telah diadakan untuk meneroka potensi kerjasama, kolaborasi, perkongsian maklumat, dan sokongan bersama.
Menurut beliau, Sarawak sedang melabur banyak dalam pembangunan infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, infrastruktur air dan elektrik, telekomunikasi dan sambungan internet, Transit Aliran Autonomi (ART) dan pembangunan strategik lain.
“Rancangan infrastruktur strategik seterusnya yang penting adalah pembangunan pelabuhan laut dalam di Kuching, yang akan merangkumi hab terminal gas dan lapangan terbang antarabangsa yang baru.
“Kedua-dua projek ini akan dilaksanakan menjelang tahun 2028 selepas kajian kebolehlaksanaan semasa selesai,” katanya.
Pada pukul 5 petang, saham Affin Bank Berhad jatuh 17 sen atau 5.72 peratus kepada RM2.80 berbanding RM2.94 ketika dibuka pada pukul 9 pagi semalam.
Semalam, S&P yang dirancang antara Sarawak dan pemegang saham terbesar Affin Bank, LTAT yang akan meningkatkan pegangan ekuiti negeri itu kepada sekitar 30 peratus berbanding 4.8 peratus ketika ini telah ditangguhkan.
Menurut sumber sebuah portal berita, majlis itu ditangguhkan kerana Sarawak ingin “menjelaskan beberapa syarat” yang dilampirkan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap perjanjian itu.
Pada masa ini, pemegang saham terbesar Affin Bank ialah LTAT dengan 28.88 peratus kepentingan. Difahamkan, Sarawak akan mengambil alih keseluruhan 20 peratus pegangan Boustead Holdings Bhd. dalam Affin Bank, serta sebahagian daripada pegangan LTAT.
Boustead, yang dimiliki sepenuhnya oleh LTAT, kini merupakan pemegang saham ketiga terbesar bank itu.
Pemegang saham kedua terbesar bank itu ialah Bank of East Asia Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, yang memegang 23.93 peratus kepentingan. – UTUSAN