KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak komited dalam sektor peralihan tenaga dengan memberi keutamaan pada bidang utama seperti solar berskala besar, biotenaga termasuk biogas dan biojisim, sisa kepada tenaga dan penyimpanan hidro pam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, ini bagi menangani gangguan tenaga boleh diperbaharui boleh ubah dan banyak lagi teknologi penjanaan tenaga bersih yang boleh digunakan secara komersial di Sarawak.
“Kekuatan kami adalah dari sudut tenaga yang boleh diperbaharui kerana saya rasa ekonomi dunia sudah beralih kepada ekonomi hijau disebabkan oleh perubahan iklim.
“Sarawak mempunyai sumber yang boleh menghasilkan tenaga hijau. Jadi, kami fokus kepada tenaga kerana semua kegiatan ekonomi akan bergantung kepada tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada MIDA Invest Series: Sarawak, Membongkar Potensi Perniagaannya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat peluang besar untuk pelabur bekerjasama dengan Sarawak dan mengembangkan sektor penjanaan tenaga bersih.
“Sarawak boleh menyumbang kepada ekonomi baharu yang menjadi tumpuan dunia pada masa ini disebabkan oleh perubahan iklim.
“Hidrogen salah satunya kerana kami ada air dan sungai yang banyak. Kita boleh memecahkan molekul hidrogen dan oksigen melalui proses elektrolisis (untuk menjadikan tenaga),” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk membina loji nuklear di wilayahnya bagi menjana tenaga elektrik, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai pelan tersebut.
Menurutnya, Sarawak memiliki pelbagai sumber semula jadi untuk menghasilkan tenaga elektrik.
“Tidak, kenapa perlu guna nuklear? Sarawak ada tenaga hidro,” ujarnya. – UTUSAN