PETALING JAYA: Saham Sedania Innovator Berhad (Sedania) telah diklasifikasikan semula di bawah sektor “Produk dan Perkhidmatan Pengguna” dan subsektor “Perkhidmatan Pengguna” berkuat kuasa hari ini.
Sedania dalam kenyataan berkata, pengelasan semula ini merupakan satu titik penting bagi kumpulan, mencerminkan peralihan strategik Sedania ke arah industri FMCG pengguna dengan tumpuan yang dipertingkatkan terhadap produk dan perkhidmatan yang berorientasikan pengguna.
“Ini adalah berikutan kelulusan yang diberi oleh Bursa Malaysia untuk permohonan pengelasan semula Sedania, melalui surat rasmi Bursa Malaysia bertarikh 31 Mei 2024. Nombor saham dan singkatan saham syarikat, Sedania (0178), kekal dan tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Sedania, peralihan sektor ini dikuatkan oleh pemerolehan sebanyak 51 peratus kepentingan dalam Tanamera Group Sdn. Bhd. (Kumpulan Tanamera) dan Offspring Inc. Sdn. Bhd. yang masing-masing memiliki jenama Tanamera dan Offspring.
Jenama Tanamera terkenal dengan produk kesihatan dan penjagaan diri halal semula jadi, manakala jenama Offspring mengkhususkan dalam produk penjagaan bayi organik.
Jelas Sedania, pemerolehan Kumpulan Tanamera termasuk Tanamera Tropical Spa Sdn. Bhd. (Tanamera), yang memiliki jenama penjagaan diri dan pasca-bersalin premium halal yang terkenal dengan penggunaan resipi rawatan warisan Asia dan bahan-bahan tempatan serta FA Herbs Sdn. Bhd., pengilang OEM bersijil GMP yang terkenal dengan pengilangan halal yang sahih di bawah jenama Tanamera.
“Selain itu, Offspring, jenama bayi organik dari Australia, menawarkan produk penjagaan bayi premium yang mesra alam, selamat untuk bayi, bebas kekejaman dan diperbuat daripada bahan yang diperoleh secara mampan.
“Pemerolehan ini, bersama dengan pengenalan JOMHIBAH oleh Sedania As Salam Capital dan perkhidmatan inovatif lain, adalah integral kepada strategi kami dalam memperluaskan kehadiran pasaran kami dan menyediakan penyelesaian mampan yang selaras dengan keperluan pengguna.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi jenama isi rumah yang dipercayai yang sinonim dengan kelestarian, kualiti dan nilai untuk wang.
Sebelum ini, SEDANIA disenaraikan di bawah sektor “Telekomunikasi dan Media” dan subsektor ‘Peralatan Telekomunikasi’ sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada 2015.
Dalam pada itu, Pengerusi Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, langkah ini mengukuhkan komitmen kumpulan untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang inovatif dan mampan yang memenuhi keperluan komuniti kami yang semakin prihatin terhadap alam sekitar dan sosial. – UTUSAN