Royal Enfield Himalayan 450 - Cubaan serius dalam penguasaan motor dwiguna - Utusan Malaysia

Royal Enfield Himalayan 450 – Cubaan serius dalam penguasaan motor dwiguna

Bukan sekadar penambahbaikan tetapi perubahan total dari model sebelumnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2024 memperlihatkan saingan ketara antara dua model dari China dan India untuk menguasai pasaran motosikal dunia.

Pasaran motosikal dwiguna sebelum ini dikuasai oleh jenama dari Eropah, dengan sedikit tentangan daripada jenama-jenama Jepun. Namun sejak kebelakangan ini, penampilan motor-motor dwiguna yang berkapasiti enjin lebih rendah iaitu sekitar 400-450cc mula menjadi tumpuan pembuat motosikal China dan juga India.

Keberadaan motosikal dari China yang semakin hari semakin mendapat sambutan kerana kualiti dan konsep yang dihasilkan, serta pembuat motosikal asal British berpangkalan di India, yang terkenal dengan motosikal-motosikal retro mereka, kini menyertai “perlumbaan” menghasilkan motor di luar tradisi mereka.

Model Himalayan bukanlah satu model yang baharu, ia diperkenalkan pada 2016. Sejak kewujudannya, Himalayan tidak banyak berubah daripada reka bentuk fizikalnya (411cc, enjin silinder tunggal, sejukan angin/udara).

Namun, menyedari tindakan agresif pembuat motosikal dari China yang kini mula menghasilkan jentera-jentera yang berkualiti dan murah, Royal Enfield (RE) dilihat tidak mahu ketinggalan.

MOTOSIKAL ini mampu menyusuri selekoh dengan mudah.

REKA BENTUK FIZIKAL
Konsep retro tidak ditinggalkan langsung oleh RE. Penggunaan lampu bulat mengekalkan imej tersebut tetapi lampu tersebut adalah LED sepenuhnya. Begitu juga dengan lampu isyarat di hadapan, dan untuk lampu isyarat di belakang juga berfungsi sebagai lampu belakang atau lampu brek.

Ini tercapai kerana lampu isyarat belakangnya adalah jenis intergrasi iaitu dwifungsi. Ia kekal berwarna merah dan menyala lebih terang apabila membrek. Selain itu, ia mempunyai mentol LED kuning di tengah untuk menyala ketika suis lampu isyarat digunakan.

Melihat pada bahagian Himalayan yang lain, ternyata ini bukanlah model penambahbaikkan dari model 411 yang lepas, seolah-olah, ini adalah sebuah model baharu keseluruhannya.

Pelana yang empuk dan selesa

Penyerap hentakan hadapannya jenis terbalik berukuran 43sentimeter (cm) berbanding 41cm pada model yang sebelumnya. Tidak terhenti di situ, kerana RE menginginkan prestasi Himalayan setanding dengan motosikal dwiguna yang lain, jenama Showa telah digunakan.

Tangki bahan apinya kini menggunakan saiz 17 liter untuk membolehkan penunggangnya menikmati perjalanan sejauh yang mungkin tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi petrol.

Roda hadapan 21 inci dan belakang 18 inci menunjukkan kesungguhan RE mempunyai pengendalian yang baik dalam apa bentuk keadaan muka bumi.

Besi pelindung, pada sisi tangki bahan api selain melindungi tangki daripada kerosakan sekiranya kemalangan atau tumbang, ia juga berfungsi untuk dipasang beg barangan atau tangki bahanapi ekstra.

Sistem ekzos yang menepati piawaian Euro 5

Besi pelindung enjin walaubagaimanapun, boleh didapati sebagai aksesori dan bukannya sebagai standard keluaran kilang. Begitu pun, besi pengalas boks belakang disediakan.

Secara keseluruhan, Himalayan ini sememangnya sebuah rekaan serba baharu dan setelah menceritakan fizikalnya, pengujian terhadap penunggangannya perlu dikupas.

PENUNGGANGAN
Ia lebih berat daripada MT450 yang sedang hebat dipuji di seluruh dunia sekarang ini. RE cukup terkenal dengan imej tahan lasak dan teguh, yang masih dikekalkan sehingga ke model terbaharu ini.

Hidupkan enjin, tekan gear pertama dan anda akan dapati ia meluncur bergerak dari keadaan statik. Pada awal penunggangan, saya dapati, kuasa tujahan Himalayan ini agak lemah pada julat kuasa bawah.

Namun saya mula memahami cara pengagihan pulasan pendikit dan klac untuk mendapatkan kuasa tujahan yang baik dan lancar.

Pengendalian atas jalan raya Persekutuan yang saya gunakan ketika mengelilingi banjaran titiwangsa bahagian selatan (Bentong-Fraser-Kuala Kubu Bahru-Genting HIghlands) ternyata cukup mengujakan. Sistem suspensi Showa begitu cekap mengendalikan hentakan kesan daripada permukaan jalan raya yang tidak rata atau rosak.

METER baharu TFT penuh, lengkap dengan pelbagai info

Penghantaran kuasa enjin 452cc yang baharu ini, menyaksikan ia beroperasi dengan cemerlang ketika julat kuasa pada tahap pertengahan. Saya dapati, enjin mula berkuasa pada tahap seawal 5,000 RPM lagi.

Malah, pencapaian kelajuan maksimum ketika atas lebuh raya Karak, ia mampu mencapai 170km/j walaupun hanya dengan enjin satu silinder sahaja.

KESIMPULAN
Ini adalah satu cubaan serius Royal Enfield. Serius bertembung dengan pembuat dari China dan untuk menakluki pasaran motosikal dwiguna yang dipasarkan dengan harga jualan mampu milik.

Secara jujurnya, Himalayan ini lebih tampak seimbang secara keseluruhannya. Penampilan yang tidak terlalu agresif atau futuristik, sehingga seolah-olah menumpukan hanya pada satu segmen umur yang kecil.

Imej lasak dan tahan tetap wujud dalam penampilannya tetapi kini ditambah pula dengan teknologi dan juga imej yang semakin diminati. Royal Enfield Malaysia dijangka memasarkan model pada harga bawah RM35,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya