Ringgit susut dipengaruhi pengukuhan dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit susut dipengaruhi pengukuhan dolar AS

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit ditutup rendah dari nilai yang sebenar semalam, berikutan pasaran mata wang dunia begitu kuat dipengaruhi oleh mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, kata penganalisis.

Pada pukul 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7190/7235 berbanding dolar AS daripada 4.7120/7155 ketika ditutup pada Isnin.

Mata wang tempatan kemudian melanjutkan trend penurunan apabila ditutup pada 4.7200/7230 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama apabila meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9216/9246 daripada 2.9254/9278 ketika ditutup pada Isnin serta lebih kukuh berbanding pound British kepada 5.9653/9710 daripada 5.9706/9750.

Selain itu, ringgit juga naik berbanding euro kepada 5.0658/0707 daripada 5.0682/0720.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, rizab persekutuan (Fed) AS tidak akan menurunkan kadar faedah semasanya iaitu 5.25 peratus ke 5.5 peratus kepada yang lebih rendah lagi pada tahun ini.

“Pihak Fed AS masih mengatakan mereka tidak akan menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat.

“Ini berikutan kadar inflasinya yang dikatakan masih tinggi, walaupun sudah ada tanda-tanda ekonomi AS mulai perlahan.

“Bagaimanapun, ia kini disandarkan pada pilihan raya presiden negara itu yang akan berlangsung pada hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Aimi Zulhazmi, sekiranya Fed AS menurukan kadar faedahnya, is akan menyebabkan nilai dolar AS akan melemah.

“Perkara itu juga akan memberikan kesan negatif kepada kepimpinan Presiden AS, Joe Biden dalam usahanya mempertahankan jawatannya.

“Berkemungkinan selepas pilihan raya presidennya nanti pihak Fed AS akan menurunkan kadar faedah secara beransur bagı melegakan ekonomi global secara keseluruhannya.

“Selepas Itu barulah kita akan mengunjurkan ringgit kembali mengukuh keparas RM4.40 atau RM4.30 yang pernah terjadi seperti setahun yang lalu. Bagaimanapun, unjuran itu akan terjadi seawal tahun 2025 nanti,” ujarnya.

Tambahnya, buat masa sekarang juga indeks dolar AS (DXY) terus mengukuh sekitar 106 mata, iaitu telah menokok tambah 4.43 peratus berbanding setahun yang lalu.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit dijangka lemah hanya untuk sementara kerana asasnya masih kukuh.

“Ini berkemungkinan berkaitan dengan pengumuman terkini oleh Fed AS dan juga data terkini berkaitan pekerjaan di AS.

“Bagaimanapun, ringgit dijangka mungkin akan kembali mengukuh pada kadar RM4.70 dalam minggu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya