PETALING JAYA: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sekumpulan mata wang utama lain pada Selasa disebabkan Indeks Dolar AS (DXY) yang merosot, kata penganalisis ekonomi.
Pada pukul 9 pagi, ringgit dibuka kukuh pada 4.6800/4.6850 berbanding dolar AS daripada 4.6805/6835 semalam, sebelum mengakhiri dagangan pada 4.6690/6750.
Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kenaikan itu didorong terutamanya disebabkan penurunan nilai mata wang dolar AS yang ketara pada malam tadi.
“Pada malam tadi, indeks dolar AS menurun dengan banyak malam tadi, sekali gus ia menyebabkan prestasi kadar pertukaran mata wang kembali mengukuh.
“Selain itu, sentimen dalam pasaran yang positif dan keyakinan yang lebih daripada peserta pasaran juga menyebabkan nilai ringgit meningkat sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada September turut akan mengukuhkan ringgit.
“Jika mengikut kajian oleh penganalisis dan pengubal polisi, lebih 90 peratus kemungkinan Fed As akan menurunkan kadar faedah mereka pada September nanti.
“Dalam pada itu, pilihan raya presiden AS turut mempunyai pengaruh besar kepada dunia dari aspek geopolitik dan ekonomi.
“Donald Trump sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai calon Presiden apabila Joe Biden menarik diri,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan saham Asia juga terjejas oleh selera risiko yang lemah di tengah-tengah ketidaktentuan yang meningkat mengenai perlumbaan presiden AS.
“Hala tuju nilai matawang dollar AS yang juga dikawal oleh Fed AS memberi kesan langsung kepada matawang negara-negara lain, termasuk Malaysia,” katanya.
Selain itu, Aimi berkata, pasaran kini juga sedang menunggu keputusan data-data ekonomi AS minggu ini iaitu keputusan data Indeks Pengurus Pembelian Global (PMI) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi mendapatkan gambaran mengenai keadaan ekonomi AS.
“Ini kerana ia akan menentukan samada Fed AS akan menurunkan kadar faedah seawal September atau pun ditangguhkan lagi.
“Nota perbendaharaan AS juga turut kekal kadar faedahnya, iaitu masing pada 4.29 peratus dan 4.125 peratus untuk tiga tahun dan lima tahun matangnya kerana para pengurus dana menanti keputusan-keputusan tersebut,” katanya. – UTUSAN