PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mencapai paras tertinggi baharu awal pagi semalam, didorong oleh dolar AS yang melemah dan jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed).
Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka kukuh pada 4.6590/4.6640 berbanding dolar AS daripada 4.6625/6660 kelmarin, sebelum mengakhiri dagangan semalam pada 4.6650/6700.
Mata wang tempatan sebelum ini mencapai paras tertinggi dalam tempoh enam bulan berbanding dolar AS pada Jumaat lepas pada 4.6630.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ringgit adalah mata wang paling kukuh di Asia Tenggara pada minggu ini dan antara terbaik di Asia.
Katanya, jangkaan Fed AS untuk menurunkan kadar faedah pada September depan menjadi antara faktor penyumbang kepada lonjakan, selain eksport negara yang semakin mengukuh.
“Pengukuhan ringgit sememangnya sudah dijangkakan iaitu mencapai sehingga 4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
“Berikutan perkembangan terbaharu ini dan jangkaan penurunan kadar faedah pada September, peningkatan nilai ringgit mungkin dapat dicapai lebih awal selepas kadar faedah diumumkan,” katanya.
Beliau berkata, untuk jangka pendek, pengukuhan ringgit adalah berasaskan sentimen, keyakinan pelabur asing dan penganalisa antarabangsa.
“Dalam jangka panjang pula, ia lebih pada hubungan antarabangsa dan eksport bersih negara kita.
“Kita juga bergantung kepada yuan China kerana negara kita banyak melakukan aktviti perdagangan dan eksport dengan negara itu,” ujarnya.
Tambah beliau, Fed AS juga akan melakukan inisiatif baharu untuk mengukuhkan mata wang negara itu.
“Jika inisiatif ini berjaya, mungkin ia akan menjadikan ringgit lemah semula,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa prestasi ringgit dan pasaran saham tempatan tidak seburuk seperti didakwa oleh sesetengah pihak.
Beliau berkata, prestasi ringgit adalah kedua terbaik di Asia dan dijangka akan terus mengukuh menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN