PETALING JAYA: Ringgit dijangka berada pada RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini dan RM4.35 pada akhir tahun 2025, kata Maybank Investment Bank Bhd.
Ketua Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, ini berikutan momentum baik dalam pelaburan, peningkatan pembiayaan perbankan yang menunjukkan aliran wang dalam pembinaan pembuatan semikonduktor serta infrastruktur fasiliti pusat data dan sebagainya.
Katanya, perkara ini juga didorong oleh usaha Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan asing dari syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan kerajaan (GLIC).
“Saya rasa semua faktor itu, digabungkan bersama campur tangan pasaran BNM telah membantu ringgit menjadi stabil.
“Kini, ringgit didagangkan di bawah RM4.70 berbanding dolar AS hampir dua minggu,” katanya pada taklimat media Prospek Pasaran bagi separuh kedua 2024 Maybank Investment Bank melalui atas talian.
Sementara itu, beliau berkata, Kadar Dasar Semalam (OPR) dijangka kekal pada 3.0 peratus sehingga hujung tahun depan, yang boleh dikaitkan dengan risiko menaik kepada inflasi.
“Seperti yang kita tahu inflasi pada separuh pertama tahun ini berada pada 1.8 peratus. Kami menjangkakan purata inflasi tahun ini pada 2.4 peratus dan momentum itu akan berterusan ke tahun depan pada 2.0 peratus.
“Jelas sekali, prospek inflasi akan sangat terikat dengan apa yang akan berlaku dengan rasionalisasi subsidi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Ekuitinya, Wong Chew Hann berkata, pihaknya mengekalkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,680 mata menjelang akhir tahun ini yang membayangkan 15 kali untuk 12 bulan akan datang.
“Pengiraan bottom-up kami memperoleh 1,740 tetapi ini adalah anggaran 12 bulan.
“Selain penghantaran pertumbuhan pendapatan, pemangkin yang boleh meningkatkan FBM KLCI termasuk pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Selain itu, butiran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin dalam membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pembangunan infra selanjutnya serta prospek ringgit yang lebih kukuh,” ujarnya. – UTUSAN