PETALING JAYA: Median upah bulanan sektor formal meningkat 9.4 peratus kepada RM2,844 pada Mac 2024, berbanding kadar pertumbuhan 8.5 peratus pada Februari dan 5.2 peratus pada Januari 2024.
Median upah bulanan pada Mac ialah RM2,844, Februari (RM2,782) dan Januari (RM2,945).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan median upah bulanan menunjukkan landskap pasaran buruh yang lebih baik, sejajar dengan perkembangan ekonomi yang semakin meningkat pada suku pertama 2024.
“Bilangan pekerja warganegara Malaysia dalam sektor formal juga terus menunjukkan peningkatan tahun ke tahun dengan pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus (peningkatan sebanyak 97.3 ribu) pada Mac 2024,” katanya dalam kenyataan.
Melihat kepada perbandingan mengikut jantina, pekerja formal lelaki menyumbang 55.3 peratus (3.62 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan pada Mac 2024, menerima median upah bulanan sebanyak RM2,900.
Sementara itu, pekerja formal perempuan yang merangkumi 44.7 peratus (2.92 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan memperoleh median upah bulanan sebanyak RM2,800 pada Mac 2024.
Mohd Uzir turut menerangkan trend upah bagi pekerja berumur 45 hingga 49 tahun menerima median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,818 pada Mac 2024.
“Kumpulan umur ini juga menerima median upah bulanan tertinggi pada Februari 2024 (RM3,727) dan Januari 2024 (RM4,000).
“Tambahan pula, semua kumpulan umur kecuali mereka yang berumur di bawah 20 tahun mencatat kenaikan median upah bulanan berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Jelas beliau, pada Mac 2024, pekerja berumur 65 tahun ke atas menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi, manakala mereka yang berumur di bawah 20 tahun mengekalkan median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 sejak Jun 2022.
Mohd. Uzir turut mengulas statistik mengikut aktiviti ekonomi juga menunjukkan bahawa semua sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan pada ketiga-tiga bulan suku pertama 2024.
Katanya, sektor perlombongan dan pengkuarian, yang hanya meliputi 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan pertumbuhan median upah bulanan tahun ke tahun tertinggi sebanyak 12.0 peratus, mencapai RM8,400 pada Mac 2024.
“Sebaliknya, sektor pertanian yang mewakili 1.9 peratus daripada pekerja formal, melaporkan median upah bulanan terendah iaitu RM2,000, menunjukkan peningkatan 5.3 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama,” katanya.
Pada Mac 2024, dua negeri mengatasi median upah bulanan nasional iaitu RM2,844 dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM4,256 dan Selangor sebanyak RM3,164.
“Sebaliknya, Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan terendah dalam tempoh masa yang sama, masing-masing mencatatkan RM1,645, RM1,682 dan RM1,882,” katanya.
Dari segi taburan upah, Mohd.Uzir berkata, sebanyak 31.2 peratus pekerja formal di Malaysia menerima upah di bawah RM2,000 pada Mac 2024, mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 mata peratus dari 34.8 peratus yang direkodkan pada Mac 2023.
“Tambahan lagi, analisis persentil menunjukkan bahawa persentil ke-10 pekerja formal warganegara Malaysia menerima upah bersamaan atau kurang daripada RM1,500.
“Walau bagaimanapun, kumpulan ini merekodkan peningkatan upah bulanan sebanyak 1.2 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya (Mac 2023: RM1,482).
“Nisbah upah antara persentil ke-90 dan persentil ke-10 menunjukkan bahawa kumpulan 10 peratus penerima upah tertinggi menerima tujuh kali ganda upah berbanding kumpulan 10 peratus penerima upah terendah,” katanya. – UTUSAN