PETALING JAYA: Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 baharu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 8,000 tempahan direkodkan hanya dalam tempoh sebulan pelancarannya.
Permintaan positif itu melebihi jangkaan Proton dan telah menetapkan piawaian baharu untuk segmennya.
Menurut Proton, sejak pelancarannya pada 2020, Proton X50 telah menjadi SUV terlaris di Malaysia, dengan penjualan mencatatkan 115,262 unit sehingga Jun.
“Sebagai tindak balas kepada permintaan yang menggalakkan ini, Proton sedang meningkatkan pengeluaran untuk mempercepat jadual penghantaran kepada pelanggan yang berminat menjelang Ogos 2024.
“Semua pelanggan awal yang layak mendapat promosi diskaun tunai RM7,000 dan sokongan tukar beli RM1,000 atau RM1,500,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, nombor tempahan luar biasa pada bulan pertama itu menunjukkan daya tarikan kukuh Proton X50 2024, sekali gus mengesahkan komitmen Proton untuk menyampaikan nilai dan kualiti yang cemerlang kepada pelanggan.
“Kami memahami keterujaan dan jangkaan mengenai Proton X50 2024 dan kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan yang kami sedang melakukan segala yang mungkin untuk memenuhi jangkaan mereka,” katanya.
Menerusi Proton X50 baharu, pengeluar kereta nasional itu telah meningkatkan tahap keselesaan, prestasi dan nilai, sekali gus mendorong permintaan pelanggan.
Jentera dipertingkatkan itu hadir dengan pakej kadar bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang baharu dengan menambah baik lebih 20 kawasan untuk penebat hingar jalan yang lebih baik untuk mewujudkan suasana dalaman yang lebih senyap.
Selain itu, pintu belakang elektrik yang ditambah kepada varian Premium dan Flagship menawarkan kemudahan pengendalian.
Unit hiburan infotainmen (IHU) yang diperbaharui sebesar 10.3 inci menjadi satu lagi ciri menarik dengan ia dilengkapi dengan unit pemproses dwi-teras empat baharu yang memberikan kelajuan bootup dan masa pemuatan yang lebih pantas.
Ia membolehkan operasi yang lancar bagi pelbagai aplikasi secara serentak serta meningkatkan pengalaman pengguna.
IHU juga termasuk arahan suara popular ‘Hi PROTON’ dan aplikasi PROTON Link yang boleh menghidupkan enjin dari jauh serta menyejukkan kabin.
Antara peningkatan yang paling banyak diperbincangkan di media sosial adalah kamera 360 terbaik di kelasnya.
Ia boleh memberikan kejelasan luar biasa bahkan dalam keadaan cahaya rendah, menjadikan parkir lebih mudah.
Video pandu uji telah menyerlahkan paparan 3D yang menyepadukan sistem pemantauan titik buta, meningkatkan keselamatan dan kesedaran semasa pelayaran pada kelajuan sehingga 150 kilometer sejam (km/j)
Sementara itu, sempena sambutan pencapaian lima juta kenderaan, PROTON turut memperkenalkan pakej promosi untuk model lain.
Ia termasuk diskaun tunai RM500 untuk Proton Saga, RM7,000 untuk Proton X70, dan penyelenggaraan perkhidmatan percuma selama 2 tahun untuk Proton X90.
Selain itu, acara ‘Uji Pandu dan Menang tanpa Kewajipan Membeli’ diperkenalkan di bilik pameran PROTON seluruh negara. – UTUSAN