PETALING JAYA: Proton menunjukkan komitmennya memajukan industri automotif Malaysia melalui pembangunan bakat semasa Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 untuk mempromosikan kemahiran berteknologi tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut kenyataan, penyertaan Proton dalam NTW 2024 membawa mesej jelas bahawa pembangunan bakat adalah penting untuk mencapai matlamat syarikat untuk menjadi peneraju global dalam industri automotif.
“Proton telah merangka tujuh teras strategik dengan Pembangunan Bakat sebagai salah satu keutamaan yang penting. Tumpuan strategik ini bertujuan untuk menangani pelbagai cabaran perniagaan dengan memupuk pengalaman kakitangan dan membangunkan pemimpin tempatan.
“Selaras dengan pelan hala tuju strategik 10 tahun jabatan sumber manusia, Proton berkomitmen untuk melabur dalam pertumbuhan modal insan dan meningkatkan keupayaan mereka.
“Ini ditegaskan oleh pelaburan dan inisiatif strategik yang ketara seperti program Proton Young Talent (PYT) iaitu inisiatif pembangunan kerjaya pantas yang menawarkan penggiliran kerja pelbagai fungsi bakat muda dan tugasan berasaskan projek untuk mempercepat pembangunan kemahiran mereka serta telah mengambil 178 bakat muda dengan 143 yang sedang bekerja di Proton,” katanya.
Sejak 2022, Proton telah melabur lebih daripada RM9.4 juta dalam program latihan dan pembangunan, dengan mendedikasikan lebih daripada 100,000 jam latihan setiap tahun untuk memastikan kesiapsediaan para pemimpin masa depan di industri automotif Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pengeluar kereta nasional itu komited sepenuhnya untuk memupuk bakat-bakat belia dan melengkapi mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri automotif.
“Keterlibatan kami dalam NTW 2024 mencerminkan dedikasi kami terhadap pembelajaran berterusan dan inovasi.
“Dengan melabur dalam bakat-bakat muda dan menyediakan peluang latihan bertaraf dunia, kami tidak hanya membentuk masa depan Proton tetapi juga menyumbang kepada hasrat Malaysia untuk menjadi pemimpin dalam arena automotif,” katanya,
Dalam pada itu, katanya, sejak pengenalan Proton X70 pada 12 Disember 2018, lebih daripada 217,000 unit kenderaan utiliti sukan (SUV) siri X syarikat itu telah dijual setakat ini kepada pelanggan pasaran tempatan dan eksport.
“Ini membolehkan Proton jauh menerajui keseluruhan jualan SUV di Malaysia dalam tempoh masa itu. Penjualan Proton Saga pula telah melepasi dua juta unit, membolehkan ia mengekalkan kedudukannya sebagai kereta buatan Malaysia paling popular sepanjang masa.
“Unit kelima juta yang dikeluarkan oleh Proton adalah Proton X90 Flagship dan ini merupakan simbolik sejauh mana Proton telah berkembang sejak permulaan kerjasama dengan Geely.
“Baru-baru ini, kami telah mengumumkan e.MAS sebagai jenama untuk produk EV Proton masa hadapan dan hari ini kami telah menetapkan lagi satu pencapaian,” katanya. – UTUSAN