Proton lancar rangkaian stamping baharu, labur RM253 juta - Utusan Malaysia

Proton lancar rangkaian stamping baharu, labur RM253 juta

Chunrong (empat dari kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah (lima dari kiri) pada upacara pecah tanah rangkaian kemudahan stamping baharu PROTON Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton memperuntukkan RM253 juta untuk membina rangkaian kemudahan stamping baharu di Tanjung Malim, Perak.

Rangkaian stamping baharu yang dikenali sebagai stamping E dan F itu akan meningkatkan jumlah pengeluaran di kilang PROTON Tanjung Malim, selain bersedia untuk memindahkan pengeluaran Proton Saga dari Shah Alam menjelang 2026.

Projek itu juga dijangka menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Ini adalah penambahan kedua yang dirancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran alat ganti PROTON selepas perasmian kilang rangkaian stamping D pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, penambahan itu penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan Proton kerana memberi lebih banyak fleksibiliti meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran.

“Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjung Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D.

“Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada 2026,” katanya.

Beliau berkata, rangkaian baharu E akan mempunyai proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan dan tiga mesin 800 tan.

“Bagi rangkaian F pula akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan.

“Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan.

Selain itu,katanya, rangkaian baharu itu akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan Proton terhadap alat ganti import untuk model-modelnya.

“Ini akan melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambah baik bekalan alat ganti tempatan.

“Pada masa sama, pelaburan ini akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjung Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

“Ketika Proton bergerak ke arah menyatukan operasi pengeluaran kami di Tanjung Malim, kami terus berusaha untuk meningkatkan penyumberan alat ganti tempatan kami,” katanya.

Tambahnya, selain daripada pertimbangan kos dan keselamatan alat ganti, Proton terus mempertahankan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri automotif melalui penciptaan pekerjaan pada pelbagai peringkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya